PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

Friday, 10 January 2014

Nur Jazlan anak jantan BN

DI kala semua jari menuding ke arah kerajaan ekoran kemelut ekonomi negara yang semakin meruncing, bebanan hidup yang terus menekan rakyat, desakan demi desakan daripada pakatan pembangkang, muncul satu karakter yang layak digelar anak jantan.

Rakan seangkatan beliau seboleh-bolehnya mengelak menjawab persoalan ekonomi yang disifatkan membunuh namun, hari ini, pentas wacana Sinar Harian siri ke-25 yang mengangkat tajuk ‘Kejutan Ekonomi Selepas PRU13’ menjadi saksi apabila Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed tampil berdepan dengan masyarakat.

Keberanian beliau disifatkan sebagai anak jantan oleh moderator wacana kali ini, Dr Maszlee Malik.

“Satu kesukaran pihak penganjur nak cari orang daripada pihak kerajaan yang sanggup seperti Datuk (Nur Jazlan) untuk ‘digoreng’ di atas ini (pentas wacana) dengan moderator dan juga YB Rafizi serta tuan-tuan puan-puan semua.

“Tak ramai dari kem beliau yang sanggup untuk jadi seperti ini. Jadi kalau kata beliau tak layak dan sebagainya saya kurang setuju. Beliau ada di sini menunjukkan bahawa beliau anak jantan,” kata Dr Maszlee.

Dalam ramai-ramai ahli Parlimen, Adun, bahkan menteri, hanya beliau yang berani bersemuka dengan masyarakat setakat ini bagi menjawab segala persoalan yang terbuku dalam hati mereka.

Walaupun Nur Jazlan ‘digoreng’ garing oleh panelis dan penonton, namun beliau cuba menjawab sebaik mungkin.

Padahal, apa yang berlaku dalam ekonomi negara kita ini sepatutnya dijawab oleh pak menteri tapi bak kata Nur Jazlan, ‘terimalah padahnya’.

Apa yang menarik, di tengah-tengah penonton yang majoritinya panas dan bengang dengan partinya, beliau mendapat tepukan gemuruh apabila berani mengkritik partinya sendiri secara terbuka .

Orang kata menyokong atau membangkang itu jangan membuta tuli.

Oleh itu, Nur Jazlan sendiri akui, kerajaan sekarang memang tidak telus sehingga menyebabkan berlaku ketirisan dan pembaziran seperti yang dilaporkan Ketua Audit Negara.

“...Jadi, kerajaan kena telus. Masalah dengan kerajaan sekarang ini adalah kerajaan tak telus.

“Beritahu rakyat mengenai fakta. Beritahu apa yang akan naik tahun 2014, 2015, 2016 supaya rakyat boleh buat persediaan awal,” kata Nur Jazlan yang disahut tepukan dan sorakan daripada penonton.

Akhirnya, timbul persoalan yang boleh difikirkan bersama. Sampai bila karakter seperti Nur Jazlan bakal terus menjadi anak jantan buat kerajaan?

Bilakah pak menteri-pak menteri yang bertanggungjawab dalam isu ini bakal tampil ke depan menjawab dan mengkritik dengan berani jika benar ada kesilapan dalam sistem mereka?

Dalam menanti tindakan pembuat dasar yang paling efisien berdepan dengan kemelut ekonomi ini, rakyat bakal terus diselubungi awan gelap hari demi hari.

Bukan mereka tidak berusaha menambah pendapatan, malah ramai rakyat di negara ini yang membuat lebih daripada satu kerja demi menambah pendapatan keluarga.

Tapi mereka manusia biasa bukan mesin yang boleh beroperasi 24 jam. Jangan lupa, mesin pun ada tamat tempohnya.

Bebanan ini jika dilihat menekan bukan saja pada yang sudah berkeluarga, beranak-pinak, orang bujang juga turut tertekan.

Kos hidup yang semakin tinggi itu menyebabkan ramai dalam kalangan kita yang dilabel miskin bandar kerana selepas ditolak sana sini, baki gaji hanya tinggal RM200.

Memang terpaksa mengikat segala apa yang boleh diikat bagi memastikan RM200 itu cukup sehingga gaji yang seterusnya.

Nampaknya, menjelang 2020 ini rakyat perlu lebih kreatif dan inovatif memikirkan cara menambah pendapatan bagi mendepani siri kenaikan kos sara hidup.//(sinarharian)


1 comment:

BERADABLAH KETIKA MENGOMEN... TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers