KOTA KINABALU - Pasukan Keselamatan Malaysia betul-betul mempunyai
beberapa saat saja untuk respons terhadap sekumpulan pengganas Sulu,
ketika bertembung dengan mereka di Kampung Tanduo, Lahad Datu bila satu
tembakan meletus pada 1 Mac tahun lalu.
Superintenden Mancha Anak Laga dari Pasukan Operasi Am (GOF) Komando
VAT69 memberitahu mahkamah tinggi, yang bersidang di Jabatan Penjara
Sabah di sini bahawa pada kira-kira 10 pagi hari berkenaan, pasukannya
bertembung sekumpulan antara 35 dan 40 orang, yang memakai pakaian
celoreng dan menjerit pada mereka dalam Bahasa Malaysia, “Tiger!
Berambus kau dari sini. Ini bumi kami!” dan kemudian mula menembak
anggota pasukannya.
Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed tentang jarak masa
ketika penceroboh itu menjerit dan bila tembakan meletus, beliau
berkata: “Kira-kira tiga hingga empat saat. Selepas mereka mula menembak
berterusan, pasukan saya dan saya sendiri mencari perlindungan dan mula
membalas tembakan ke arah mereka. Ia berlarutan kira-kira sejam.
“Semasa berbalas tembak, seorang daripada orang saya, Korporal
Sabaruddin Daud terbunuh akibat beberapa kecederaan di kepala selepas
ditembak penceroboh,” katanya.
Mancha adalah saksi ketiga pendakwa dalam perbicaraan 30 orang yang
dituduh melakukan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti pengganas di
Sabah tahun lalu.
Menurutnya, beliau telah memberitahu komander taktikalnya, Datuk Abdul
Rashid Harun tentang pertempuran itu dan kemalangan jiwa menerusi
walkie-talkie.
Ditanya oleh Abdul Wahab sama ada beliau tahu maksud perkataan ‘tiger’,
yang digunakan oleh penceroboh, Mancha berkata, ia merujuk kepada
dirinya dan anggota pasukannya.
Terdahulu, seorang anggota polis bantuan di Felda Sahabat, Lahad Datu
memberitahu mahkamah, beliau nampak sekumpulan lelaki memakai uniform
celoreng di Kampung Tanduo selepas keluar memancing pada pagi 12
Februari.
Mohd Ali Asmadi, 40, berkata, beliau menganggarkan terdapat lebih 100 orang.
“Saya yakin mereka bukan anggota Tentera Malaysia kerana saya belum
pernah melihat askar Malaysia memakai uniform jenis itu,” katanya.//(SinarHarian)