by: RUZAINI ZULKIFLI
PENAMPANG:
Empat lelaki ditahan polis setelah beberapa senjata tajam yang ditemui
di kenderaan mereka dalam sekatan jalan raya bersempena Ops Cantas Khas
berhampiran Taman Jumbo, Petagas di Jalan Putatan-Kota Kinabalu
kelmarin.
Difahamkan
dalam kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi itu, sekumpulan lelaki sedang
menuju ke pusat bandar dari Putatan sebelum ditahan polis pada sekatan
berkenaan kerana berada dalam keadaan mencurigakan.
Bagaimanapun,
sebaik bonet belakang kereta jenis Proton Iswara Aerobik dinaiki mereka
diperiksa, pihak polis yang bertugas berjaya menemui beberapa jenis
senjata tajam termasuk sebilah pedang samurai dan pisau pemotong daging.
Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 30an dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.
Sementara
itu, di Jalan Yuk Min, Penampang Lama pula menyaksikan sekumpulan
remaja ‘mat rempit’ sanggup bergadai nyawa dengan melawan arus jalan
raya semata-mata mahu meloloskan diri daripada sekatan di lokasi
berkenaan.
Bagaimanapun,
tindakan itu akhirnya membawa padah apabila lima remaja bermotosikal
berjaya dicekup polis dan ketika ditahan, kesemua mereka mengaku tidak
mempunyai lesen memandu.
Ketua
Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh berkata
seramai sembilan individu ditahan dalam operasi yang dijalankan pada jam
10 malam hingga 2 pagi itu membabitkan beberapa laluan di kawasan
Penampang dan Putatan.
“Kita
berjaya menahan sembilan individu atas pelbagai kesalahan termasuk
tidak mempunyai lesen menunggang motosikal dan lain-lain.
“Seramai
160 pengguna jalan raya telah diperiksa dalam Ops Cantas kali ini dan
operasi berkenaan akan dilaksanakan dari masa ke semasa bagi menangani
jenayah di sekitar daerah Penampang secara amnya,” katanya (The Borneo
Post)