Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes seorang atlet
bola baling Sukan Malaysia (Sukma) 2013 yang mendakwa dirogol sekumpulan
atlet lelaki di perkampungan sukan di Universiti Putra Malaysia, Rabu
lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis
memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan imej sukan negara
amnya dan perbuatan jenayah dalam kalangan atlet, khasnya.
"Laporan
ini amat serius. Kita akan lakukan siasatan lanjut dan terperinci
mengenai kes ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Akhbar
hari ini melaporkan atlet remaja berusia 19 tahun itu mendakwa dirogol
bergilir-gilir dalam keadaan separuh sedar di bilik penginapan sebuah
kolej universiti itu.
Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat
Polis Daerah Serdang dan susulan itu, polis menahan tiga atlet semalam
untuk membantu siasatan.
- Bernama