SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat
khas Rabu depan untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, mesyuarat
yang akan diadakan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya itu juga akan
menetapkan tarikh pengundian awal dan menentukan daftar pemilih pilihanraya umum berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran
Dewan Rakyat Rabu lalu, yang akan membuka laluan kepada PRU13.
Setakat tengah hari kesemua Dun telah dibubarkan.
“SPR menerima perisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul
Halim Mua’adzam Shah berhubung pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April
(Rabu lepas). Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri kecuali
Dun Sarawak pula, SPR telah menerima perisytiharan pembubaran DUN
masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pembubaran Dewan Rakyat dan Dun itu adalah mengikut
Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri tersebut yang
memberi laluan kepada SPR untuk mengadakan PRU13.
Kamaruddin berkata menurut Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan
Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari
dari tarikh pembubaran itu.
“Peruntukan yang sama turut terkandung dalam Perlembagaan
Negeri-negeri tersebut bagi maksud mengadakan pilihan raya umum bagi
Dun,” katanya.
Sinar