KUALA LUMPUR 16 Jan: Bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sabah,
Ramli Kamaruddin mendedahkan, beliau mula merekrut pengundi hantu
selepas secara peribadi menerima arahan dari Timbalan Menteri Dalam
Negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.
Ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)
mengenai pendatang di Sabah hari ini, Ramli mendakwa, beliau diarahkan
untuk mengeluarkan resit kad pengenalan (IC) kepada pendatang asing
menggunakan butiran mereka yang sudahpun ada dalam daftar pemilih tetapi
tidak pernah mengundi sebelumnya.
Beliau mendakwa menerima panggilan dua minggu sebelum pilihan raya
negeri Sabah pada 1994 untuk menemui Megat Junid di sebuah hotel.
Beliau mendakwa telah diarahkan untuk membantu memastikan akan
kemenangan kerajaan negeri yang disokong oleh kerajaan Persekutuan.
Ramli mendakwa telah diarahkan untuk mengeluarkan resit JPN
menggunakan nama dan nombor IC pengundi yang sudah ada dalam daftar
pemilih dengan tujuan bagi membolehkan mereka mengundi.
Resit JPN adalah slip kad pengenalan sementara yang dikeluarkan
sebelum menerima kad pengenalan sebenarnya. Dokumen tersebut adalah
memadai untuk mengundi, jelas beliau. – Malaysiakini