Oleh: Shahbudin Husin
Ramai yang geleng kepala dengan respon Tun Mahathir yang pentadbiran dan
dua orang kanannya tiba-tiba dikaitkan dalam pemberian ratusan ribu kad
pengenalan kepada pendatang asing di Sabah pada tahun 1993/1994
sebagaimana yang didedahkan dalam inkuari Siasatan Diraja atau RCI
berkenaan pendatang asing yang sedang berlangsung sekarang ini.
Sambil mengakui beliau ada memberi kad pengenalan kepada pendatang asing
di Sabah tetapi bekas Perdana Menteri itu mendakwa tindakan berkenaan
dijalankan mengikut undang-undang.
Kita patut tengok balik dan ingat. Tunku Abdul Rahman lebih teruk
daripada saya. Dia beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak
layak. Jadi kenapa apa yang dia buat tidak salah dan apa yang saya buat
ini salah, demikian Mahathir dipetik sebagai berkata sebagaimana yang
tersiar dalam Malaysiakini.
Orang geleng kepala kerana demi menyelamatkan dirinya, Mahathir sanggup
menuding jari ke sesiapa saja, termasuk kepada Bapa Kemerdekaan Tunku
Abdul Rahman Putra Alhaj yang sudah meninggal dunia.
Jika beliau menyandarkan kesalahan itu kepada Anwar Ibrahim yang ketika
itu Timbalan Perdana Menteri, ia memang boleh difahami dan ada logiknya
tetapi turut menyalahkan Tunku yang disanjung tinggi dan sudah meninggal
dunia pula, tidak lebih menunjukkan sikap enau yang ada dalam diri
Mahathir itu.
Isu pendatang asing yang diberi kad pengenalan sudah lama menjadi isu di
Sabah. Mereka bukan saja saja diberi kad pengenalan tetapi juga diberi
hak mengundi dan menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan. Lebih
menyakitkan hati penduduk tempatan, ramai juga pendatang asing ini
memiliki keistimewaan seperti memiliki tanah, rumah, lesen perniagaan
dan sebagainya.
Pendatang asing yang diberi kad pengenalan ini dijaga dan dipelihara
sebaiknya kerana kuasa undi yang mereka miliki amat berguna setiap kali
pilihanraya.
Akhirnya penduduk tempatan hanya dibiarkan miskin dan melarat. Hak
mereka sebagai rakyat asal Sabah tidak lagi penting untuk diberi
perhatian.
Tetapi oleh kerana tekanan yang berlarutan daripada pelbagai pihak untuk
menyelesaikan itu itu, kerajaan akhirnya akur untuk menubuhkan RCI bagi
mencari punca dan penyelesaian kepada masalah itu.
Beberapa saksi yang memberi keterangan kepada RCI itu telah mendedahkan
pelbagai perkara, antaranya bekas Timbalan Pengarah JPN Sabah, Mohd
Nasir Sugip yang mendakwa SPR telah mengarahkan JPN menukar nama 16,000
pendatang untuk diberikan kad pengenalan dan seorang bekas pegawai JPN,
Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil pula mendedahkan kira-kira 100,000 kad
pengenalan biru diberi kepada pendatang Sabah pada 1993.
Nama bekas orang kanan Mahathir iaitu arwah Megat Junid Megat Ayob dan
Aziz Shamsuddin turut disebut dalam inkuiri itu di mana kedua mereka
didakwa bukan saja memberi arahan langsung mengenainya tetapi terdapat
juga operasinya dilakukan di rumah Aziz Shamsuddin di Kampung Pandan,
Kuala Lumpur.
Projek IC ini memang diketahui rancak dilaksanakan pada tahun 1993/1994
iaitu sebelum berlangsungnya pilihanraya negeri Sabah pada 1994. UMNO
yang baru bertapak di Sabah ketika itu begitu berdendam dengan PBS dan
cuba sedaya upaya mahu menumbangkan kerajaan Pairin Kitingan ketika itu.
Melalui pemberian ratusan ribu kad pengenalan biru dan hak pengundi
kepada pendatang asing itu keputusan pilihanraya Sabah 1994 menjadi amat
sengit di mana PBS akhirnya hanya mampu memenangi 25 daripada 48 kerusi
saja. Berikutan beberapa ADUN PBS melompat menyertai UMNO tidak lama
kemudiannya, kerajaan PBS akhirnya tumbang dan UMNO dapat menguasai
negeri itu.
Dalam hal ini, walaupun Mahathir cuba mempertahankan pemberian kad
pengenalan itu mengikut undang-undang sambil membandingkan dengan Tunku
Abdul Rahman yang disifatkannya lebih teruk daripadanya, apa yang jelas
nawaitu pemberian kad pengenalan oleh Mahathir dan Tunku adalah berbeza
sama-sekali.
Mahathir meluluskan ratusan ribu kad pengenalan kepada pendatang asing
Sabah adalah untuk kepentingan politik UMNO dan menghakis kuasa politik
Kadazan. Kadazan adalah rakyat Sabah sah dan dominasi politik mereka
cuba dinafikan dengan menggunakan pendatang asing Filipina sebagai
alatnya. Mereka diberi kad pengenalan, tanah dan pelbagai lesen
perniagaan sebagai balasan kepada budi yang telah ditetapkan iaitu
mengundi BN.
Tunku pula memberikan kad pengenalan kepada rakyat daripada China dan
India yang memang telah berada di Malaya sebelum kemerdekaan lagi dan ia
seebahagian daripada persetujuan dengan British yang memberi
kemerdekaan.
Dalam hal ini matlamat Tunku adalah murni iaitu untuk memberi keselesaan
hidup kepada mereka yang telah memilih untuk menjadikan Malaya tempat
kediaman mereka. Tunku tidak memaksa mereka mesti mengundi Perikatan
sebagai syarat diberikan kad pengenalan itu sebagaimana UMNO memaksa
pendatang Filipina mesti mengundi BN sebagai syarat untuk memperolehi
kad pengenalan.
Tetapi Projek IC adakah jelas matlamatnya iaitu untuk menumbangkan
kerajaan PBS dan menghakis kuasa Kadazan. Sudah tentu pendatang asing
itu turut juga diberikan taklimat dan ditunjuk ajar parti mana yang
perlu dipangkah sebagai syarat kelulusan kad pengenalan tersebut.
Respon Mahathir yang cuba mengait dan menyalahkan Tunku dalam hal ini
memang sesuatu yang tidak wajar, jika pun beliau mahu membersih najis
yang terpalit di badannya. Pertamanya, kerana matlamat dan tujuan Tunku
dengan beliau jelas berbeza dan ia memang diketahui oleh Mahathir
sendiri dan keduanya, oleh kerana Tunku sudah meninggal dunia, maka
beliau tidak dapat membalas balik dakwaan Mahathir itu.
Tindakan Mahathir menyalahlah pihak lain dalam pelbagai isu memang biasa
didengar sebelum ini. Beliau memang diketahui cekap memutar lidahnya.
Beliau tidak akan menyalahkan dirinya. Biasanya ada saja yang menjadi
mangsanya.
Tetapi tindakan terbaru Mahathir yang turut sanggup menyalahkan Tunku
membuktikan bahawa bukan saja dengan orang yang masih hidup beliau
bermusuh, bahkan dengan Tunku yang banyak berjasa dan sudah meninggal
dunia pun beliau sanggup berbuat demikian.
Bagi Mahathir, jika beliau salah, ada orang lain lagi salah. Jika beliau
teruk, ada orang lain lagi teruk. Semua kesalahan cuba dilemparkan
kepada orang lain untuk menunjukkan diri dan legasinya kelihatan suci
bersih.
Menjelang pilihanraya akan datang, Sabah nampak bergoyang dan isu
pendatang asing bakal menjadi isu utama. Nama Mahathir mungkin paling
banyak disebut dalam isu pemberian kad pengenalan ini kerana ketika itu
beliau adalah Perdana Menteri dan mengaku pula meluluskannya.
Sementara Anwar dan Pakatan Rakyat sedang hebat menggempur Sabah dan
yakin isu pendatang asing itu bakal memberi kelebihan kepada mereka, ada
baiknya jika Najib awal-awal lagi melantik Mahathir sebagai pengurus
kempen BN untuk menjawab mengenai isu itu di Sabah ketika pilihanraya
nanti.
Dan kita boleh lihat sama ada Mahathir boleh menjamin kerusi Sabah masih selamat atau sebaliknya. (SH 18/01/2013)