PERKARA paling menakutkan untuk kita bayangkan ialah jika negara jatuh
bankrap yang sudah pasti akan membawa rakyat kepada suatu kehidupan yang
memeritkan, terpaksa menganggur dan harga barang melambung.
Itulah gambaran diberikan Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) yang
menjangka hutang negara meningkat 100 peratus berbanding Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) 2019 jika dasar pemberian subsidi diteruskan.
Menurut MRS, Malaysia mungkin akan bankrap dalam tempoh sembilan tahun
akan datang jika polisi yang diamalkan sekarang diteruskan dengan
mengambil kira jumlah pembiayaan subsidi ditanggung kerajaan mencecah lebih RM70 bilion setahun.
Subsidi boleh dimansuhkan jika rakyat mampu membeli barangan keperluan asas pada harga sebenar.
Malangnya, sebahagian besar rakyat masih tergolong dalam kelompok berpendapatan sederhana dan miskin.
Golongan ini masih memerlukan bantuan daripada kerajaan dalam bentuk
subsidi untuk meneruskan kehidupan kerana kos sara hidup tinggi,
terutama mereka yang tinggal di bandar besar.
Kerajaan seharusnya bersedia menyemak semula pendapatan semua sektor
pekerjaan di negara ini kepada nilai munasabah supaya masyarakat boleh
berkompromi sekiranya subsidi ditarik semula.
MRS ditubuhkan untuk mengkaji langkah sesuai dalam merasionalisasikan
pemberian subsidi agar kesan pemansuhan atau pengurangannya tidaklah
sehingga menjejaskan kehidupan rakyat disampaing berupaya mengukuhkan
ekonomi negara.
Langkah yang seperti ini sangat penting untuk memastikan negara kekal
berdaya saing sekali gus mewujudkan iklim pelaburan yang telus dan
mapan.
Mengikut cadangan makmal itu, pemberian subsidi antara aktiviti perdagangan yang tidak menguntungkan.
Ia menimbulkan kesan ke atas ekonomi Malaysia yang sedang membangun.
Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala
mengenai bahana yang akan menimpa negara dalam tempoh sembilan tahun
akan datang jika negara masih mengekalkan subsidi termasuk antara kesan jangka panjang yang dijangkakan jika polisi itu diteruskan.
Kalau benar disebabkan subsidi negara boleh jatuh bankrap, rakyat sudah tentu rela ia dihapuskan.
Ini kerana tiada rakyat yang mahu negaranya bankrap sekali gus lebih
teruk menjejaskan berbanding kehidupan yang dilalui sekarang.
Bagaimanapun timbul persoalan dalam isu tingkat pendapatan, apakah
dengan apa yang diperolehi majoriti hari ini, rakyat Malaysia mampu
hidup selesa dalam keadaan kos hidup mencanak sedangkan tangga gaji di
takuk lama?
Usaha kerajaan melalui Model Ekonomi Baharu (MBE) dilihat cuba
menumpukan peningkatan pendapatan per kapita rakyat menjelang 2020 dan
mempertingkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah serta
sederhana rendah kepada 40 peratus sepanjang MBE dilaksanakan.
Bagaimanapun, apakah kadar pergerakan gaji atau pendapatan rakyat seiring dengan pergerakan kos hidup secara purata tahunan?
Jika kenaikan pendapatan per kapita rakyat selari dengan penghapusan
subsidi secara berperingkat oleh kerajaan, mungkin ia tidak akan
menjejaskan kehidupan rakyat secara keseluruhannya.
Bagaimana jika penghapusan subsidi tidak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat?
Apakah kerajaan boleh beri jaminan jika subsidi dihapuskan, negara lebih kompetitif dan pendapatan rakyat akan meningkat?
Atau adakah kerajaan perlu cari jalan memastikan negara kompetitif dan
pendapatan rakyat meningkat serta kemudian baru hapuskan subsidi
berperingkat?
Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi media
semalam, bahawa kerajaan sedang mencari jalan melindungi dan
mengurangkan kesan kenaikan kos hidup (dalam konteks ayat beliau merujuk
kepada kenaikan tol dan tarif elektrik) secara tidak langsung menjawab
persoalan itu bahawa kerajaan pada masa ini belum menemui sebarang
mekanisme sesuai untuk mengatasi masalah itu.
Atas sebab itulah, di sebalik tindakan mengurangkan atau menghapuskan
subsidi yang sebagaimana disebut perdana menteri bahawa sesuatu yang
tidak mungkin dapat dielakkan, rakyat di mana-mana juga menjerit dan membantah kerana berasa hidup semakin terhimpit.
Inilah yang meresahkan sebahagian besar rakyat yang ber-pendapat
kerajaan harus mencari langkah paling sesuai untuk menangani masalah
ekonomi sebagaimana yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai
perdana menteri pada era kemelesetan ekonomi 1987 dan 1997, bukan dengan
terus meletakkan beban kepada rakyat.
Lebih-lebih lagi isu pembaziran, ketirisan, rasuah dan kecekapan masih menjadi isu pentadbiran kerajaan.
Sedangkan negara semaju Amerika Syarikat (AS) pun masih memberi subsidi
dalam pelbagai sektor industri dan perkhidmatan sebagai mekanisme
perlindungan industri negaranya.
Subsidi tanaman jagung, kerajaan AS memberi sebanyak AS$73 billion sepanjang tempoh 2006 hingga 2009.
Walaupun ia menyebabkan barangan komoditi negara sedang membangun
terjejas, tetapi dari segi pertanggungjawaban AS terhadap industri dan
rakyat, tidak boleh dipertikaikan.
Dalam konteks negara kita, bolehkah kerajaan memberik statistik
pulangan dari segi daya saing dan gandaan yang bakal diperolehi daripada
langkah penghapusan subsidi? Bolehkah kerajaan mengunjurkan peningkatan
pendapatan rakyat hasil tindakan ini?
Kalau kenaikan tepung tahun depan sebanyak 20 sen dan tahun seterusnya
25 sen, maka sehingga 2015, harga tepung akan meningkat kepada RM1.20
iaitu lebih 50 peratus kenaikan. Ini belum dikira lain-lain barang kawalan. Apakah ini selaras dengan unjuran pendapatan per kapita rakyat ditetapkan MBE bagi tempoh sama?
Kalau pendapatan kita tinggi, secawan kopi berharga RM10 pun tidak menjadi masalah, satu kepala bufet RM100 pun tidak berbeban.
Sama juga dengan harga minyak, bagi yang mampu dan mempunyai kereta
yang cukai jalannya RM2,000 atau RM10,000 pun tidak menjadi masalah jika
minyak RM2.50 seliter.
Sejauh manakah MRS yang akan dilaksanakan membantu golongan miskin dan berpendapatan sederhana?
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu menubuhkan jawatan kuasa yang
serius dan komited memantau kenaikan harga barangan untuk menyekat
kenaikan harga.
Katanya, bukan rakyat yang patut berjimat cermat tetapi kerajaan harus mengurus perbelanjaan lebih efektif./(Sinarharian)