“Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba mencemarkan nama baik saya selaku penjawat awam,” kata Zamihan dalam satu kenyataan kepada laman portal berita itu.
Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN itu berkata, sekiranya Shahidan ada masalah dengannya, beliau seharusnya berhubung dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bukan menyerangnya melalui media.
“Menteri bermentaliti rendah tidak perlu ada dalam kerajaan transformasi. Menteri sepatutnya mendokong aspirasi kerajaan. Bukannya bersifat membuli saya.
“Jika beliau tidak mahu berbincang secara ilmiah, jangan lagi menyerang saya secara tidak berhemah. Berhentilah dari mempertikaikan kredibiliti saya dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam,” kata Zamihan.
Shahidan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini menyelar Zamihan kerana turut melibatkan aliran Wahabi dalam serangan kerajaan terhadap umat Islam beraliran Syiah.
Bekas Menteri Besar Perlis itu mendakwa Zamihan cuba mengelirukan umat Islam di Malaysia tentang fahaman Wahabi, sambil berkata ramai ahli Umno marah dengan tindakan tersebut.
"Pegawai di KDN nak hukum pasal Syiah itu tidak mengapa kita boleh sokong. Namun mencampuradukkan Wahabi dan sebagainya merupakan satu perbuatan yang tidak boleh terima," kata Shahidan dalam satu temuramah eksklusif bersama The Malaysian Insider.
Zamihan membalas dakwaan itu dengan mengatakan beliau melakukan kerja berdasarkan arahan Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri, serta berdasarkan permintaan dari jabatan agama dan jabatan mufti negeri.
“Dalam isu teologi dan ideologi kita perlu berbincang. Berdebat mencari kebenaran. Soalnya, apabila tohmahan diajukan kepada saya berkaitan ideologi agama, maka berdebat merupakan salah satu cara mendapatkan kebenaran.
“Memang saya berpangkat rendah. Setelah hampir 9 tahun berkhidmat masih ditangga S 41. Beginilah nasib penjawat awam agama. Kelihatan ada ciri double standard berbanding perjawatan lain,” katanya, merujuk kenyataan Shahidan yang beliau tidak mahu membuang masa melayan pegawai rendah seperti Zamihan.
Bagi Shahidan, fahaman Wahabi tidak sesat.
Beberapa hari lalu Zamihan mencabar Shahidan untuk berdebat mengenai isu Wahabi kerana berpendapat fahaman tersebut tidak sesuai di Malaysia.
Katanya, tiada keperluan menegakkan fahaman Wahabi kerana Shahidan sendiri pernah mengakui Wahabi umpama hantu dan tidak seharusnya berpegang kepada fahaman hantu.
Zamihan sebelum ini meminta Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu untuk menafikan 10 bukti KDN yang mengaitkan beliau dengan fahaman itu, berikutan tuduhan Ahmad Zahid di perhimpunan agung Umno baru-baru ini.
Zamihan berkata KDN sentiasa bersedia untuk bermuzakarah dengan Mohamad, yang dikenali sebagai Mat Sabu, bagi mencari kebenaran berdasarkan pegangan Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini.
Zamihan bagaimanapun berkata 10 bukti itu hanyalah "gred B", dan mendakwa mempunyai bukti "gred A" yang belum didedahkan.
Antara 10 bukti yang disebut KDN termasuk sebuah rencana Mat Sabu yang melahirkan rasa terhadap pemimpin Revolusi Islam Iran, Ayatollah Ruhullah Khomeini.
-sumber