PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Tuesday 2 October 2012

Krisis Najib - Muhyiddin Hanya Tunggu Masa Meletus....

Pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini bukan saja memperlihatkan Najib sudah kepupusan idea untuk terus memaju pertumbuhan dinamik ekonomi negara ke fasa seterusnya yang lebih mencabar tetapi juga menggambarkan beliau hanya melhat kaedah pemberian tunai sebagai satu-satunya cara untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadap kerajaan yang dipimpinnya.

Dengan memberikan terlalu banyak pemberian tunai kepada rakyat, Najib seperti mengandaikan rakyat adalah macam perwakilan UMNO yang hendak memilih pemimpin di peringkat bahagian dan nasional. Sebab itu rakyat dinilai dengan pemberian tunai RM500 hingga RM200, sama seperti jumlah yang biasa diterima oleh perwakilan UMNO setiap kali pemilihan diadakan.

Sebagai PM dan Menteri Kewangan, pembentangan bajet seharusnya dimanfaatkan untuk melonjakkan ekonomi, merangsang pertumbuhan dan memberi keselesaan kepada rakyat dalam jangka masa panjang dan sederhana. Ia juga sepatutnya meliputi penurunan beberapa cukai dan pengenalan beberapa program dan insentif baru untuk rakyat sama ada dari segi kesihatan, pendidikan, pelaburan dan sebagainya.

Tetapi Najib hanya memikirkan untuk memberi rakyat wang saku berjumlah RM500 dan RM200 yang sebenarnya boleh habis dibelanjakan dalam tempoh sehari dua sahaja.

Selepas habis pemberian tunai itu, rakyat akan kembali susah seperti sediakala. Mereka akan terus dihimpit kenaikan harga barang, kekurangan peluang pekerjaan dan perniagaan serta pelbagai bebanan lagi. Tetapi jika pengurangan beberapa cukai diperkenalkan yang menyebabkan harga barang turun atau pengenalan beberapa program yang bermanfaat untuk rakyat, tentulah ia memberi kesan jangka panjang yang lebih dirasai.

Apa yang dilakukan Najib sebenarnya melalui BR1M 0.1 dan BR1M 0.2 adalah seperti merasuah rakyat supaya mengundi BN dalam pilihanraya umum akan datang. Tahun lepas BR1M ini diperkenalkan dengan tujuan pilihanraya akan diadakan selepas itu tetapi oleh kerana pelbagai isu muncul dan keadaan tidak cukup merangsang untuk mencetuskan kemenengan kepada BN, pilihanraya terpaksa ditangguh sehingga Najib terpaksa melaksanakan BR1M kali kedua.

Jika tidak ada pilihanraya, tiadalah BR1M. Lihat saja bajet 2010 dan 2011 yang dibentangkan Najib, bukan sahaja tiada BR1M, bonus untuk kakitangan awam pun tiada. Najib cukup kedekut ketika itu.

Hanya apabila hampir pilihanraya, barulah kaedah pemberian tunai BR1M ini diperkenalkan. Kepada kakitangan awam juga, Najib menjadi pemurah secara tiba-tiba. Daripada tiada bonus, tahun ini diberinya sebulan tengah bonus.

Bajet kali ini hanya memperlihatkan keghairahan Najib mempromosi dirinya. Beliau mahu dilihat pemurah dan prihatin. Bukan saja kepada rakyat tetapi kepada ahli UMNO juga. Dengan memberi pelbagai jenis pemberian tunai, peruntukan Jabatan Perdana Menteri jadi melonjak manakala beberapa kementerian sama ada mengalami kenaikan peruntukan yang sedikit atau pun penurunan peruntukan tahunan.

Daripada semua kementerian itu, kementerian yang paling terjejas mengalami penurunan ialah Kementerian Pelajaran. Dalam Bajet 2012, peruntukan Kementerian Pelajaran ialah RM4,581,995,900 tetapi bajet kali ini hanya diberikan sebanyak RM2,118,519,100 sahaja iaitu penuruan lebih 50 peratus.

Penurunan peruntukan Kementerian Pelajaran ini mengejutkan banyak pihak dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Selalunya kementerian itulah yang sering diberi peruntukan besar kerana ia berkaitan dengan pendidikan serta masa depan anak bangsa kita. Sudah tentu Kementerian Pelajaran selalunya merangka pelbagai program, merancang pembinaan sekolah baru, membaiki sekolah yang rosak dan usang, menambah jumlah dan kualiti makmal pembelajaran dan sebegainya lagi.

Dan tidak syak lagi penurunan peruntukan kepada Kementerian Pelajaran itu segera dikaitkan dengan Muhyiddin Yassin yang menerajui kementerian itu. Hubungan Najib-Muhyiddin diketahui banyak pihak hanya menunggu masa untuk meletus. Selain perbezaan stail, gaya dan pendekatan, Najib yang ratingnya di mata umum merudum hari demi hari juga sentiasa dibayangi oleh Muhyiddin yang dilihat tiada kontroversi serta isu-isu peribadi.

Najib terlihat amat lemah dan tidak sesuai menjadi PM ketika krisis. Wataknya yang tidak tegas dan kurang bijaksana telah menyebabkan satu demi satu isu yang muncul gagal ditangani dengan baik. Dalam masa yang sama, palitan hitam yang mencemarkan dirinya sejak sekian lama menambahburukkan lagi keadaan.

Ketika Pak Lah mahu disingkirkan dulu, Muhyiddinlah yang bersungguh-sungguh melakukannya. Najib banyak teragak-agak dan cuba bermain selamat sehingga ketika itu Mahathir yang memulakan langkah untuk menyingkirkan Pak Lah turut tidak senang dengan Najib.

Najib hanya diselamatkan oleh kedudukannnya sebagai TPM dan Timbalan Presiden UMNO ketika itu. Hanya itulah yang menjadikannya PM sekarang, bukan kerana wibawa serta kebolehannya.

Selepas menjadi PM, lihatlah apa yang berlaku. Beliau bukan saja gagal memulihkan keadaan, bahkan manambahburukkan lagi keadaan. Beliau juga kelihatan jauh lebih lemah daripada Pak Lah. Dalam konteks demokrasi dan hak asasi manusia pula, Marina Mahathir melabelkan Najib lebih teruk daripada bapanya, Mahathir.

Dengan kelemahan yang begitu ketara sekarang dan kedudukan BN entahkan menang entahkan tidak dalam pilihanraya akan datang, nama Muhyiddin mula diperkatakan sebagai satu-satunya watak yang dilihat sesuai untuk mengembalikan kekuatan UMNO. Pemimpin dan ahli UMNO pelbagai peringkat mula merasakan jika Muhyiddin yang berada di tempat Najib sekarang, atmosfera politik Malaysa mungkin berubah suasananya.

Najib mungkin berdegil untuk terus mengemudi PRU 13 ini. Meski dengan pemberian tunai sekali pun, harapan menangnya tetap tipis. Untuk mencapai lebih daripada 112 kerusi Parlimen pun masih tercungap-cungap, inikan pula untuk melebihi 140 kerusi yang dimenangi pada 2008 yang menjadi antara punca Pak Lah disingkirkan.

Logiknya, jika Pak Lah dengan 140 kerusi pun disingkirkan, Najib juga akan menerima nasib yang sama jika gagal membawa kemenangan dua pertiga kepada BN.

Mahathir sendiri sekarang begitu kerap bercakap soal majoriti dua pertiga sebagai penanda aras sebuah kerajaan yang stabil. Ia sebenarnya adalah petanda untuk menyingkirkan Najib.

Dengan bajet PR yang dilihat lebih mempunyai pelan jangka panjang dari segi memberi kesejahteraan kepada hidup rakyat dengan hasrat menambah nilai wang boleh belanja melalui penurunan harga minyak, penghapusan hutang PTPTN, menurunkan harga kereta dan lain-lain lagi, realiti bagi Najib ialah sama ada kalah pilihanraya atau pun menang sekadar cukup makan saja.

Dalam bajetnya, selain berusaha mempromosi dirinya sebagai Santa Claus, Najib juga mulai cuba mengekang gerak langkah Muhyiddin daripada terus menggugat kedudukannya. Pengurangan peruntukan kepada Kementerian Pelajaran adalah isyarat Najib bahawa Muhyiddin dan kementerian yang diterajuinya akan diperkecil peranan serta kedudukannya.

Dengan peruntukan yang kecil itu, tidak banyak gula yang boleh ditawarkan oleh Muhyiddin kepada pemimpin serta perwakilan UMNO. Projek membina sekolah, membaiki sekolah, mengecat dan sebagainya akan berkurangan. Dengan sendirinya pemimpin dan perwakilan UMNO bahagian yang menjalankan perniagaan akan berkurangan menemui Muhyiddin dan meneroka ke kementerian lain pula.

Jelas bahawa niat Najib mengurangkan peruntukan kepada kementerian Muhyiddin itu ialah untuk mengecilkan peranan serta pengaruhnya di kalangan ahli dan perwakilan UMNO meski masa depan pelajar dan negara terpaksa dikorbankan melalui peruntukan yang makin dikurangkan itu.

Hanya masa yang menentukan bilakah krisis kedua-dua mereka ini akan meletus tetapi berdasarkan pergolakan yang makin membahang di pelbagai peringkat kepimpinan UMNO sekarang ini, ia tampaknya semakin sukar untuk dielakkan meskipun kedua-duanya cuba menunjuk seperti selenggang sehayun bersama.

Jika Najib berjaya menyekat kemaraan Anwar dan PR dalam pilihanraya umum, cabaran beliau seterusnya ialah pemilihan UMNO selepas itu. (01/10/2012)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers