Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib hari ini mendedahkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur isterinya Shahnaz Majid tidak lagi dara semasa dinikahinya pada 1992.
Pendedahan itu dibuat selepas anak kepada Gabenor Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud itu diajukan soalan oleh peguambelanya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar terhadap kewajaran mutaah bernilai RM100 juta.
"Selepas beberapa hari perkahwinan kami pada 9 Januari 1992, semasa di dalam bilik tidur, saya dapati plaintif bukan anak dara lagi.
Dia bukan anak dara masa kami bernikah," kata Abu Bekir kepada mahkamah hari ini.
Shahnaz, kakak kepada penyanyi popular Datuk Sheila Majid, dan Abu Bekir berkahwin pada Januari 1992 dan mempunyai seorang anak yang kini berusia 20 tahun, Raden Murya.
Abu Bekir memfailkan perceraian mereka pada Mei 2011.
Dalam menolak dakwaan itu, peguam Shahnaz, Dr Mohd Rafie Mohd Shafie berkata kenyataan Abu Bekir tidak disertakan laporan perubatan dan soalan berkenaan tidak adil kepada plaintif, remeh, mengaibkan dan sengaja diada-adakan.
Akberdin Abdul Kader yang juga peguam kepada plaintif berkata, Shahnaz perlu diberi peluang membela diri daripada dakwaan itu dan bertentangan dengan Seksyen 105 Akta Keterangan.
“Apabila defendan beri keterangan terhadap plaintif maka plaintif perlu diberi peluang memberikan penjelasan.
“Mana peluang plaintif untuk menjawab? Ini soal remeh dan cuba aibkan plaintif di peringkat ini. Adakah ini adil? Mahkamah hendaklah melarang kenyataan bertujuan menghina dan menyinggung yang tidak wajar,” katanya.
Bagaimanapun, Zainul Rijal berkata status plaintif penting mengikut syarak apatah lagi tuntutannya membabitkan RM100 juta.
Katanya, bagi menolak dakwaan itu, defendan boleh mengangkat sumpah bagi menafikan dakwaan itu dan tuduhan berkenaan boleh digugurkan.
“Defendan beri keterangan bertujuan untuk membantu mahkamah membuat keputusan. Bukan tujuan mengaibkan tetapi sekadar fakta yang diketahui defendan. Plaintif sendiri memaklumkannya.
“Tidak timbul aib atau tohmahan kerana mahkamah akan tentukan. Saya mohon diteruskan,” katanya.
Hakim Muhamad Abdul Karim Wahab berpendapat kenyataan yang dikeluarkan perlu menutup keaiban dan bantahan berkenaan diterima kerana sudah dikemukakan.
Katanya, soalan yang dikemukakan oleh pihak defendan perlu diubah supaya tidak menggambarkan keaiban.
“Tak semestinya diaibkan. Mahkamah bukan tempat buka keaiban. Bantahan diterima,” katanya yang turut memberi kebenaran kepada media untuk melaporkan sidang hari ini namun perlu lebih berhati-hati.
“Sampaikan dalam suasana sopan dan beradab,” katanya.
Abu Bekir hari ini menarik perhatian mahkamah tuntutan mutaah RM100 juta yang dikemukakan Shahnaz tidak munasabah.
Katanya, selepas meninggalkan Shahnaz pada 1999, nafkah seperti wang bulanan, rumah dan kenderaan diberikan sepanjang tujuh tahun tidak tinggal bersama isterinya.
Zainul Rijal: Apa alasan tak setuju tuntutan plaintif?
Abu Bekir: Saya berikan nafkah RM10,000 sebulan dan kadang-kadang lebih. Dia tinggal di sebuah banglo di Damansara bernilai RM2 juta.
Abu Bekir turut memaklumkan kepada mahkamah beliau memberikan tiga kenderaan kepada isterinya iaitu Jeep Cherokee (RM600,000), Mercedes S Class (RM800,000) dan BMW X5 (RM700,000).
Katanya, tiga kereta tersebut adalah milik Sarawak Capital Sdn Bhd di mana Shahnaz adalah pengarah dan pemegang saham syarikat itu.
Ketika ditanya, mengapa selepas 12 tahun meninggalkan Shahnaz, Abu Bekir mengambil keputusan memfailkan penceraian, beliau berkata tidak mahu Shahnaz hidup terkapai-kapai.
“Dia tak punya suami dan saya tak pulang. Saya cuba pujuk untuk bercerai cara baik, dia tak layan,” katanya ketika menjawab soalan Zainul Rijal.
Hakim menetapkan perbicaraan disambung semula pada 2 September ini. – 24 Jun, 2014.
- TMI
Cari pisau, golok, parang??? Sila klik http://parangonline.blogspot.com
..