PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Sunday, 18 May 2014

Kisah dua Ahmad di Terengganu

*WALAUPUN penuh kontroversi, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman selamat dan sempurna disahkan sebagai Menteri Besar Terengganu, setelah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah pada 9.18 malam, Isnin lalu.

Dalam kemelut yang hangat dengan berbagai spekulasi, Adun Seberang Takir berusia 49 tahun lulusan Sarjana Sains dalam Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia itu masuk ke pejabat pagi Rabu.

Seperti yang dilaporkan media, tepat 7.45 pagi itu beliau mengetip kad perakam waktu, dan dengan rasminya memulakan tugas sebagai Menteri Besar Darul Iman yang ke-14.

Syabas dan tahniah kepada YAB baharu, mudah-mudahan dapat mengemudi bahtera pentadbiran di Negeri Penyu yang semenjak dua menjak ini selalu bergelora berserta dengan angin kencang dan kilat sabung-menyabung.

*ADAPUN kemelut politik yang tercetus berikutan pelantikan Ahmad sebagai menteri besar baharu adalah gara-gara mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang menulis surat kepada Setiausaha Agung Umno, mengisytiharkan diri keluar parti dan menjadi YB Bebas.

Dua orang lagi wakil rakyat Umno – Roslee Daud (Bukit Besi) dan Ghazali Taib (Ajil) – mengikut jejak bekas MB, keluar parti. Maka kedudukan BN dalam Dun Terengganu menjadi senget, dari 17 tinggal 14 kerusi, dengan pembangkang 15.

Kapal BN pun senget, kalau silap-silap gaya ada pilihan raya semula, ada yang menjangka dan berharap kapal tersebut mungkin menjadi Titanic, karam di tengah gelora Laut China Selatan.

Tetapi kemelut dan drama separuh berat itu ternyata hanya sementara. Dalam masa beberapa jam ketiga-tiga YB yang menulis surat keluar Umno telah – atas kerelaan sendiri –menarik balik surat tersebut dan kembali kepada parti asal.

Ada orang kata, YB-YB yang sekejap keluar kemudian masuk semula itu samalah seperti hangat-hangat tahi ayam. Tetapi dalam politik, ada ketikanya tahi ayam pun berharga dan bernilai tinggi.

*DENGAN tiga wakil rakyat merujuk kembali kepada parti, kedudukan BN dalam Dun kekal kepada status asal iaitu 17 kerusi – tidak termasuk speaker – berbanding 15 kerusi pembangkang.

Menteri besar baharu yang mulanya pada kedudukan telur di hujung tanduk, kini berada dalam keadaan lebih selesa. Seperti yang dilaporkan media, Ahmad berikrar akan meneruskan agenda merakyatkan pembangunan.
“Kita mahu nasib rakyat Terengganu terus terbela dan kita juga mahu negeri Terengganu akan menjadi sebuah negeri yang maju. Penting juga kita menyediakan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Terengganu akan kita jadikan sebagai ‘simpanan tetap’ kepada Barisan Nasional (BN) seperti mana yang saya telah janjikan kepada Perdana Menteri,” kata beliau seperti disiarkan media.

Cabaran utama Ahmad sebagai menteri besar baharu ialah untuk memastikan janjinya kepada PM ditunaikan pada PRU akan datang. Kalau janji itu dimungkiri, ada kemungkinan Ahmad baharu akan menerima nasib seperti Ahmad lama.

Memang mudah menjangkakan Terengganu menjadi simpanan tetap Kuala Lumpur. Tetapi pada kedudukan 17 – 15, lebih hanya dua kerusi dalam Dun, simpanan tetap itu pun boleh bertukar menjadi pinjaman tanpa cagaran, malah silap-silap boleh over drawn.

Kelebihan hanya dua kerusi, bukanlah satu kedudukan yang kukuh. Itu masih dianggap sebagai telur di hujung tanduk, atau dalam bahasa pasar orang Terengganu ‘dok rok cetong’.

Telah terbukti dalam kepimpinan yang lalu Umno Terengganu tidak mantap, berpecah kepada beberapa puak. Ahmad kena menyatukan puak-puak yang berpecah, dan perlu sokongan padu.

Memang secara luaran, cakap-cakap pemimpin Umno Kuala Lumpur menegaskan kemelut atau drama politik Terengganu sudah berakhir. Tetapi ada juga yang menjangka drama sebenarnya baharu bermula!

*AKHIR kalam, pepatah Melayu menyebut, biduk lalu kiambang bertaut. Setelah bertelagah bertegang urat bagai nak rak, semuanya sudah nampak tenang.

Yang merajuk sudah dipujuk, yang panas sudah disejukkan, yang masam sudah dimaniskan.

Semua sudah saling bersalaman macam adik dengan abang, sambil mengakui pepatah lama sedangkan lidah lagi tergigit. Maka kepada Ahmad Razif saya ucapkan selamat menerima tugas baharu, kepada Ahmad Said pula selamat menerima menantu baharu.


TOK PERAK

Cari parang, golok??? klik http://parangonline.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers