PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Sunday, 6 October 2013

Abang tetak tangan, badan adik dengan parang


Wati menunjukkan tempat berlaku pergelutan antara suami dengan adik iparnya dalam kejadian di Kampung Tembila, Besut.
BESUT - Bagaikan dirasuk iblis, seorang lelaki menetak tangan dan badan adiknya dengan parang di Kampung Tembila, dekat sini,  kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu berpunca daripada perasaan marah suspek yang berusia 33 tahun terhadap mangsa berusia 28 tahun yang menembak lengan anaknya dengan peluru pistol mainan.

Katanya, sebelah petang sebelum kejadian, berlaku perselisihan faham dan perang mulut antara dua beradik itu.

“Suspek marah terhadap mangsa kerana mengesyaki mangsa menembak lengan anaknya dengan peluru pistol mainan menyebabkan anaknya yang berusia 8 tahun itu menangis.

“Menurut laporan yang dibuat isteri mangsa, suaminya cuba memberi penjelasan sebenar kepada suspek, namun suspek tidak endahkan, sebaliknya dia dikatakan naik angin lalu mencapai sebilah parang dan menetak mangsa.

“Mangsa cedera di lengan kiri dan pinggang kiri ketika cuba mempertahankan diri,” katanya.

Beliau berkata, semasa kejadian kakak mangsa yang berada berhampiran cuba menenteramkan suspek, namun  dia turut terkena tetakan dan cedera di tapak tangan kanan.

Katanya, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Besut. Adik suspek dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan kerana parah, sementara kakak mangsa menerima 12 jahitan di tapak tangan.

“Suspek melarikan diri dan usaha mengesan serta menangkapnya sedang giat dilakukan,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Isteri suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Wati, 32, berkata, sebelum kejadian anak lelakinya pulang teresak-esak dan memberitahu bahawa adik iparnya (mangsa) menembaknya dengan pistol mainan.

Katanya, suaminya dengan mangsa telah lama bermasam muka dan kejadian itu menyebabkan dia hilang sabar.

“Dia mengambil parang lalu keluar rumah menuju ke arah adiknya yang berada di rumah berdekatan. Selepas beberapa minit berlaku pertikaman lidah, suami saya bertindak menyerang adiknya di atas tanah belakang rumah,” katanya.

Kata Wati, selepas menyedari mangsa cedera parah, suaminya bertindak melarikan diri dengan motosikal.

Ketika ditanya, Wati mengakui suaminya penagih dadah dan dia tidak tahu ke mana suaminya lari menyembunyikan diri.

“Mereka berdua telah lama bergaduh dan sebelum ini pernah bertumbuk tetapi tidaklah seteruk kelmarin,” katanya.//(Sinarharian)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers