PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

Friday, 11 January 2013

10 Kontroversi Najib: Rakyat diseru ke KL112 – KPRU


KUALA LUMPUR, 11 JAN: Pelbagai kontroversi serius membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam empat tahun pentadbirannya telah membuktikan bahawa beliau tidak lagi sesuai memimpin negara selepas PRU ke-13 kerana ianya bakal meletakkan ekonomi dan keamanan Malaysia dalam keadaan yang tidak stabil.

Dalam satu kajian yang dilakukan badan Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU), kegagalan Najib menjawab dengan rasional pelbagai isu membabitkan dirinya dan pelaksanaan Dasar Transformasi Kerajaan yang bersifat retorik menyebabkan BN kini berada dalam keadaan paling lemah sejak merdeka (Perikatan) dan penubuhan Malaysia pada 1963.

“Pada awal tempoh Najib menjadi Perdana Menteri, beliau cuba menonjolkan diri sebagai “Bapa Tranformasi”, dengan memperkenalkan Model Ekonomi Baru (MEB), Gagasan 1 Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk menunjukkan keazaman dan semangat bagi mentransformasikan struktur ekonomi.

“Bagaimanapun pengumuman itu membawa kepada beban berterusan yang ditanggung rakyat akar umbi. Hampir semua harga barangan naik melambung dalam masa singkat, termasuk harga gula naik 20 sen daripada RM1.45 (2008) kepada RM1.65 (2009) di Semenanjung,” ulas KPRU.

Memberikan contoh, Najib melaksanakan rasionalisasi subsidi bertujuan mengelak negara bankrap pada masa hadapan, tetapi pada masa sama, Najib mengekalkan subsidi kepada syarikat kroni.

“Beliau yang menyatakan negara akan bankrap jika pemberian subsidi diteruskan tetapi kini mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 dan seumpamanya untuk menyelamatkan diri dan UMNO-BN daripada kalah pada PRU-13 nanti,” menurut laporan itu.

Tambah KPRU lagi, berikutan itu, pentadbiran Najib terus dikritik hebat kerana mengabaikan kepentingan rakyat akibat isu kenaikan gaji dan pendapatan boleh guna rakyat yang tidak seimbang untuk menyaingi kadar kenaikan harga barangan.

Merumus kembali perkembangan pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri, KPRU menyenaraikan 10 isu utama yang menjadi kontroversi berterusan memanifestasikan kelemahan Najib seperti berikut:

1.      Pembunuhan Altantuya

Rakan karib Najib, Abdul Razak Baginda yang dituduh terbabit dalam pembunuhan Altantuya Sharibuu sudah dibebaskan. Pada Disember 2012, ahli perniagaan, Deepak Jaikishan menamakan seorang adik Perdana Menteri, Datuk Nazim Razak sebagai individu yang didakwa bertanggungjawab membayar penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) kedua. Bala pada awalnya menandatangani satu akuan bersumpah mengaitkan Najib Razak dengan model Mongolia itu. Deepak juga mendedahkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mempunyai kaitan dengan pembunuhan Altantuya itu.

2.      Skandal pembelian kapal selam Scorpene

Suaram, sebuah pertubuhan bukan kerajaan melantik seorang hakim bebas di Mahkamah Perancis bagi membicarakan kes dakwaan rasuah pembelian Scorpene. Peguam Perancis, Apoline Cagnate, pada 27 November 2012 ketika taklimatnya di Singapura memberitahu akan menggabungkan perbicaraan pembunuhan Altantuya dalam siasatan Scorpene.

3.      FBC Media

Pada Ogos 2011, dunia kewartawanan bersifat penyiasatan dipelopori Sarawak Report mendedahan skandal penyelewengan wang rakyat sebanyak RM57.68 juta dalam projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ yang merupakan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited, sebuah firma media dan hiburan di Eropah.

4.      Kematian Teoh Beng Hock, Kugan dan Amirulrasyid

Mayat Teoh Beng Hock ditemui mati di bangunan SPRM. Kugan pula mati dalam lokap dan  keluarganya mengesyaki Kugan didera ketika di dalam lokap kerana banyak kesan calar di belakang, pergelangan tangan dan lehernya. Seorang pelajar berusia 14, Amirulrasyid  dikatakan ditembak mati oleh anggota polis ketika melarikan diri dengan sebuah kereta yang dipandunya.

5.      Isu Lynas

Lynas Corporation Ltd adalah sebuah syarikat Australia yang diberi kelulusan pada Januari 2008 untuk mendirikan sebuah kilang pengeluaran nadir bumi yang terletak di Gebeng, Kuantan, Pahang. Loji yang mula beroperasi pada September 2011 dibantah penduduk tempatan diketuai Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh. Beberapa perhimpunan yang dinamakan Perhimpunan Hijau diadakan bagi membantah operasi kilang Lynas itu. Perhimpunan Hijau 2.0 juga berjaya menghimpunkan kira-kira 20,000 orang yang datang dari seluruh negara bagi membantah kilang itu kerana bimbang menjejaskan keselamatan hidup generasi akan datang

6.      Pembaharuan Sistem Pilihan Raya

Perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0 diadakah pada 2011 dan 2012. Tuntutan Bersih supaya bersihkan senarai pengundi, reformasi kepada undi pos, menggunakan dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, mengukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor.

7.      Menara Warisan Merdeka

Cadangan pembinaan Warisan Merdeka 100 tingkat diumumkan Najib ketika membentangkan Belanjawan 2011. Projek pembangunan bersepadu itu bernilai RM5 bilion dan akan dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), berdekatan kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara. Pembinaannya dijangka siap epenuhnya pada 2015.

8.      National Fidlot Corporation (NFC)

Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya. Pihak pembangkang mendakwa wujud penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan sebanyak RM250 juta yang disalurkan kepada NFC disalah guna keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ia termasuk membeli lima kondominium di Singapura dan Bangsar, dua lot tanah di Putrajaya, kereta mewah dan pelbagai transaksi yang meragukan.

9.      Pelaksanaan AES

Pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automati (AES) dikendalikan oleh Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd. Kerajaan tidak mengeluarkan peruntukan kerana mesin, kamera dan semuanya akan disediakan dua syarikat berkenaan. Saman yang dikeluarkan telah dikomersil dan diswastakan di mana dua syarikat terbabit akan mendapat komisyen daripada setiap saman bagi 831 kamera yang dipasang.

10.  Aliran Keluar Wang Haram

Jumlah pengaliran keluar wang haram meningkat 111 peratus daripada AS$30.41 bilion pada 2009 atau RM94.27 bilion meningkat kepada AS$64.38 bilion (RM199.58 bilion) pada 2010. Seorang peniaga balak, Micheal Chia yang dipercayai rapat dengan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman disyaki membawa wang haram dalam mata wang Singapura berjumlah S$16 juta (RM40 juta).

Selain  senarai 10 kontroversi yang dinyatakan, banyak lagi isu yang masih gagal diselesaikan pentadbiran Najib termasuk isu cincin RM24 juta isterinya, fitnah terhadap pimpinan pro-rakyat dan manipulasi isu perkauman dan agama yang boleh mencetuskan ketegangan.

Justeru, rakyat di segenap lapisan merentas budaya, bangsa dan agama diseru turun berhimpun menyatakan kemarahan dan protes mereka secara aman di Stadium Merdeka dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) #KL112 bermula jam 2.00 hingga 5.00 petang.

KPRU ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008 yang memberi fokus kepada kajian politik di Malaysia secara kritikal melalui penerbitan dan dialog yang dianjurkan. -Roketkini.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers