KALAU dibelek berita terkini atau laman sosial. Antara yang terhangat
sekarang adalah kisah rebat RM200 untuk telefon pintar. Tentu masih
segar dalam ingatan gambar daripada sebuah akhbar bagaimana seorang
mahasiswa mengeletik suka apabila rebat itu diumumkan.
Terang lagi bersuluh rebat itu tidak lain untuk memancing undi
anak-anak muda. Sebab itulah usia minimum untuk layak mendapat rebat ini
adalah 21 tahun. Beri pada belia 20 tahun buat apa, mereka bukan boleh
mengundi pun.
Akan tetapi yang riuhnya hari ini bukan kerana “janji sudah ditepati”
lalu “kini masa balas budi”. Tetapi riuh kerana ramai merasakan janji
itu “indah khabar dari rupa”. Sebab muncul syarat telefon pintar yang
layak hanya yang harga maksimum RM500.
Bingitlah seantero alam seolah-olah ini pertama kali mereka melihat
pemerintahan Barisan Nasional membuat silap mata sedemikian. Berkecai
angan-angan sesetangah orang untuk memiliki telefon pintar canggih
kerana syarat baru itu ‘menyempitkan’ pilihan.
Sebenarnya alangkah baik jika anak muda dapat fikir lebih jauh
daripada itu. Janji ditepati yang menjadi janji di’capati’ (kerana telah
dicanai) memang mengundang angin satu badan. Tetapi ada persoalan lebih
besar daripada itu yang perlu difikirkan.
Apakah tidak ada perkara lain yang memberi manfaat jangka panjang dan
lebih memerlukan peruntukan RM300 juta berbanding rebat telefon pintar
itu? Adakah anak muda hari ini begitu murah nilainya sehingga memadai
rebat telefon bimbit untuk memikat undi mereka? Jawapannya akan
memberitahu kita adakah pemerintah ini pemerintah pintar.
Ayuh, pintarkan telefon, pintarkan diri. – Roketkini.com