Oleh: Shahbudin Husin
Ramai yang tertanya-tanya kenapakah Najib masih tidak berani mengumumkan
tarikh pilihanraya walaupun sering mendakwa sokongan rakyat kepada BN
makin bertambah dan yakin untuk mencapai kemenangan. Beberapa pemimpin
lain, terutama Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO, bukan sekadar yakin
BN akan terus menggenggam kuasa malah merasakan kuasa majoriti dua
pertiga pun mampu dicapai kali ini.
Apakah sebenarnya halangan utama Najib sehingga beliau menjadi
satu-satunya Perdana Menteri yang paling takut mengumumkan pembubaran
Parlimen? Inilah pertama kali dalam sejarah, tarikh pilihanraya masih
tidak diumumkan walaupun sudah berada di penghujung tempoh lima tahun
selepas pilihanraya lalu diadakan pada Mac 2008.
Ada kemungkinan Najib akan membiarkab Parlimen terbubar dengan
sendirinya selepas 28 April ini ataupun mungkin beliau akan memohon
perkenan Yang Dipertuan Agong untuk melanjutkan lagi tempoh pembubaran
itu.
Apa pun keadaannya, ketakutan Najib untuk mengumumkan pembubaran
Parlimen menggambarkan ketidakyakinan beliau terhadap kemenangan yang
mampu dicapai kali ini. Walaupun sering mendakwa sokongan rakyat makon
bertambah, tambahan pula dengan pelbagai janji dan pemberian gula-gula
politik terutamanya BR1M 2.0 yang sedang dilaksanakan sekarang,
hakikatnya sokongan yang diharapkan masih tidak memadai untuk
menciptakan kemenangan yang selesa buat BN.
Sering bermain di fikiran rakyat, apakah sebenarnya halangan atau beban
utama Najib dalam pilihanraya kali ini sehingga beliau seperti tidak
henti-henti menagih sokongan daripada rakyat?
Selain UMNO dan BN bukan lagi menjadi produk yang baik di mata rakyat
kerana pelbagai masalah dan skandal yang berlaku sejak bertahun-tahun
lamanya, beban utama yang memberatkan bahu Najib sebenarnya ialah
Mahathir dan Rosmah.
Walaupun Mahathir sering tampil dengan hasrat memberi sokongan kepada
Najib dan BN serta kerap pula mengingakan rakyat tentang bahaya
melakukan pertukaran kerajaan, tetapi seringkali kemunculan beliau
menjadikan keadaan menjadi kalut buat BN. Dalam isu pemberian kad
pengenalan kepada pendatang asing di Sabah, kenyataan-kenyataan yang
diberikan oleh Mahathir lebih banyak memburukkan lagi keadaaan.
Tindakan mengaitkan nama Tunku Abdul Rahman dalam isu itu bukan saja
mengguris hati banyak pihak malah turut menyebabkan masyarakat Cina dan
India turut tersentak dengannya.
Dalam pada itu, banyak kenyataannya sebelum ini juga tidak memberi
impak yang maksima kepada UMNO dan BN kerana kebanyakan rakyat dapat
memahami muslihat dan kepentingan yang ingin dipertahankan oleh bekas
Perdana Menteri selama 22 tahun itu. Apa pun komen dan kenyataan yang
dikeluarkan oleh Mahathir, baik yang menyokong Najib atau mengkritik
Najib, ia sebenarnya tidak lari daripada nawaitu menjaga kepentingan
anak-anaknya dalam politik dan perniagaan dah juga melindungi dirinya
sendiri selepas pilihanraya nanti.
Keikhlasan Mahathir serng diragui. Baik di dalam UMNO mahupun di luar
UMNO, semua orang tahu kepentingan yang ingin dipertahankan oleh
Mahathir. Bila dia menyokong Najib, nawaitunya ialah untuk kepentingan
diri dan anak-anaknya, sebaliknya jika dia mengkritik Najib, nawaitunya
juga adalah untuk menjamin kepentingan diri dan anak-anaknya.
Semasa berkuasa, beliau mungkin ditakuti kerana bijak menggunakan kuasa.
Tetapi setelah bersara dan masih ingin menjadi broker kuasa dalam UMNO,
taring Mahathir sebenarnya tidaklah setajam dulu lagi. Mungkin masih
ada golongan tua dan lama yang masih terpesona dengannya, tetapi
rata-rata generasi muda sudah menolaknya.
Bagi mereka, lebih baik Mahathir berehat dan tidak terlalu mencampuri
lagi politik negara. Zamannya sudah berlalu dan kini adalah zaman
anak-anak muda mengorak dunia.
Walaupun antara sebab keputusan buruk pilihanraya 2008 adalah kerana
hasutan Mahathir supaya rakyat dan ahli UMNO sendiri menolak kerajaan
yang dipimpin oleh Pak Lah tetapi kali ini suasananya sudah jauh
berbeza. Rakyat yang menolak UMNO dan BN jauh lebih ramai berbanding
ahli UMNO yang dulunya tidak mengundi BN tetapi akan mengundi BN dalam
piliharaya akan datang ini.
Kekerapan Mahathir bersuara mengenai politik hanya menambah kebencian
rakyat kepada BN. Ini kerana setiap kali beliau bersuara, sudah difahami
maksud dan nawaitunya itu. Setelah 22 tahun UMNO dan kerajaan
dibelenggu dengan kepimpinan Mahathir, tidak mungkin ramai yang mahu
beliau terus memainkan peranannya dalam negara ini.
Jika Mahathir berdiam diri dan menjadi seorang pesara yang baik, ia
mungkin jauh lebih baik bagi Najib, UMNO dan BN. Sokongan rakyat kepada
Najib dan BN dalam piliharaya akan datang mungkin bertambah baik tanpa
campurtangan daripada Mahathir.
Beban kedua Najib menjelang pilihanraya akan datang ialah Rosmah Mansor,
isteri Najib sendiri. Dalam bentuk apa Rosmah mendatangkan beban kepada
Najib, UMNO dan BN tidak perlu dihuraikan lagi kerana semua orang sudah
mengetahui dan memahaminya.
Gaya, penampilan yang mewah, kegemaran mengumpul perhiasan yang mahal
dan gemerlapan serta campurtangan dalam pelbagai urusan perniagaan yang
melibatkan kuasa suaminya sebagai Perdana Menteri adalah antara karenah
Rosmah yang tidak disenangi dan menjadi percakapan rakyat pelbagai
peringkat.
Rakyat hampir tidak dapat menerima watak yang dipamerkan Rosmah yang
bukan saja berbeza dengan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini
tetapi juga sebenarnya amat bertentangan dengan watak mana-mana isteri
pemimpin yang ingin disanjung rakyat.
Berbeza dengan Mahathir yang suara dan kenyataannya yang boleh
menyusahkan Najib dan BN, Rosmah pula cukup sekadar penampilannya saja
sudah memadai untuk mendatangkan malapetaka buat Najib, UMNO dan BN.
Selagi ada Mahathir dan Rosmah dalam pentadbiran Najib, tidak mungkin
rakyat mahu memberikan sokongan yang gemilang kepada BN.
Najib pun barangkali menyedari kewujudan kedua-dua watak itu yang
menjadi beban kepadanya, sebab itu beliau tidak henti-henti turun padang
menagih sokongan rakyat kerana menyedari sokongan yang ada masih belum
mampu memastikannya kekal lagi sebagai Perdana Menteri.
Jika Mahathir berdiam diri dan Rosmah pula tidak kerap muncul, ia
mungkin lebih baik bagi Najib dan BN. Tetapi dengan piliharaya makin
hampir dan majoriti rakyat pula sudah membuat keputusan, tidak banyak
lagi yang mampu dilakukan oleh Najib untuk mempertahankan kerajaan yang
ada sekarang. (SH 04/02/2013)