Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya akan mempunyai satu
lagi tarikan, terutama untuk anak-anak muda iaitu pembukaan Hard Rock
Cafe di Menara Ikhlas, Presint 3, Putrajaya. Pengumuman mengenai
pembukaan Hard Rock Cafe itu diumumkan sendiri oleh Presiden Perbadanan
Putrajaya, Aseh Che Mat yang turut memberitahu, ia akan siap dibuka
dalam tempoh tiga hingga empat bulan daripada sekarang.
Putrajaya adalah pusat pentadbiran kerajaan Malaysia yang senibina
bangunannya banyak bercirikan Islam, sesuai dengan kedudukan Malaysia
yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi. Lebih dari itu, di Putrajaya
juga dibina masjid-masjid yang indah di tepi tasik dan sebuah lagi
masjid pula menggunakan sistem penyejukan semulajadi yang menjadi
tarikan serta kebanggaan semua.
Di Putrajaya, selain sebagai pusat pentadbiran kerajaan, juga terletak
kediaman Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan sebahagian besar
menteri-menteri kabinet. Kakitangan kerajaan di Putrajaya pula lebih 90
peratus adalah golongan Melayu dan Islam, begitu juga kakitangan
kerajaan yang mendiami kuarters kerajaannya.
Malah Mahathir Mohamad yang mengasaskan Putrajaya juga mempunyai
pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana. Imej Melayu dan Islam dengan
Putrajaya sebenarnya begitu rapat dan hampir tidak dapat dipisahkan.
Selain itu, Putrajaya juga mempunyai beberapa tarikan lain yang sudah
cukup menarik seperti tasik buatan, taman-taman, kapal persiaran,
jambatan dan sebagainya.
Jadi, apa perlunya ada Hard Rock di Putrajaya lagi? Tidak cukupkah
tarikan sedia ada untuk Putrajaya sehingga Aseh seperti pendek akal
merestui kewujudan Hard Rock itu?
Walaupun Hard Rock hanyalah sebuah restoran tetapi ia hukan restoran
biasa, ia juga menyajikan hiburan rock dan muzik keras, persembahan
artis yang terkinja-kinja dan minuman keras. Sebagaimana empat buah
restoran tersebut yang sudah dibuka di negara ini, itulah eleman
wajibnya.
Tanpa hiburan, muzik tanpa batas, pergaulan bebas dan minuman keras,
bukanlah Hard Rock Cafe namanya. Persinggahan mat-mat motor yang
menunggang motor besar hanyalah salah satu tarikannya, tetapi tarikan
utamanya ialah minuman keras dan hiburan yang mengkhayalkan.
Dengan kedudukan dan imej Putrajaya, selain penduduk dan warga kerjanya
adalah majoriti Islam dan Melayu, membenarkan pembukaan Hard Rock adalah
suatu penghinaan sebenarnya.
Apakah Hard Rock sedang diperalatkan untuk memancing anak-anak muda
Melayu dan Islam di pusat pentadbiran kerajaan yang selama ini tenang
dan damai waktu malamnya supaya beralih kepada kehidupan bebas, tanpa
batas dan akses yang yang terbuka kepada minuman keras?
Sedarkah Aseh Che Mat yang menjadi Presiden Putrajaya mengenai perkara
ini? Apakah Putrajaya sedang cuba dirosakkan secara perlahan-lahan dan
kedudukan Najib dan kerajaan yang sudah sedia goyah dengan pelbagai isu
dan kontroversi, cuba disabotaj lagi. (SH 04/12/2014)
-
Shahbudin Husin