KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan
‘belang’
beliau dengan cuba menjadi hero apabila menggesa kerajaan supaya tidak
lagi berlembut dan memberi muka kepada Pakatan Rakyat yang menurutnya
berterusan memperlekeh sistem demokrasi negara.
Justeru, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan menyifatkan bekas
Perdana Menteri yang sudah bersara lebih sepuluh tahun membuktikan kuku
beliau masih lagi mencengkam dan gigi taring beliau masih lagi tajam
untuk menusuk musuh-musuh politiknya.
“Amat malang bagi Perdana Menteri sekiranya masih mendengar dan
tunduk dengan kata-kata bekas PM itu. Sepatutnya Tun Dr Mahathir duduk
diam dengan melihat perkembangan politik tanah air,” ujarnya dalam satu
kenyataan.
Bagi Ahli Parlimen Temerloh itu, di depan ayah Menteri Besar Kedah
itu ada barisan kepemimpinan baharu PM bersama anggota kabinetnya yang
menjalankan tugas ketika itu.
“Berikan sepenuh kepercayaan kepada mereka dan beliau tidak perlulah
‘ringan mulut’ membuat sebarang kenyataan kerana semua pihak merasa
rimas dengan kemunculan beliau, seolah-olah, dari segi jawatan rasminya
beliau telah melepaskannya namun dari segi tugas beliau masih lagi
menguasai dasar-dasar kerajaan,” katanya.
Beliau juga menyifatkan Mahathir mahu kerajaan sekarang mengulangi sikap keras semasa zaman pemerintahannya.
Justeru, kata beliau tidak hairanlah di zamannya, rakyat menggelarkannya sebagai diktator atau pemimpin kuku besi.
Di zamannya, kata Nasrudin, ISA paling aktif digunakan dengan
beratus-ratus rakyat kebanyakannya pemimpin pembangkang dihumban ke
penjara itu.
Apa yang menghairankan, ujarnya kaedah berlembut yang dikatakan
Mahathir digunakan oleh kerajaan sekarang sudah menahan ramai aktivis
dan pemimpin Pakatan Rakyat, ada yang diheret dan didakwa di mahkamah,
“Bagaimana pula jika pendekatan keras digunakan?” tanya beliau.
Dalam keadaan berlembut itu, ujar beliau kerajaan sukar melepaskan
Padang Merbok untuk dijadikan lokasi perhimpunan 22 Jun 2013, sesetengah
lokasi perhimpunan di negeri-negeri terpaksa diubah saat akhir, media
hampir mustahil dapat digunakan oleh semua pihak terutama Pakatan
Rakyat, akhbar Harakah, Suara Keadilan dan Roket dirampas di kebanyakan
negeri, pegawai-pegawai kerajaan diugut dan disogok supaya jangan
menyokong PR, jentera kerajaan dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan
manakala sistem pilihanraya dimanipulasi sedemikian rupa oleh SPR dan
lain-lain agensi kerajaan.

“Apakah itu masih berlembut?” tanya beliau lagi.
Sehubungan itu, ujarnya cukuplah kenyataan Mahathir menjadi
peringatan keras buat Perdana Menteri supaya jangan mengulangi kesilapan
bekas pemimpinnya itu.
Tambahnya, Mahathir pelopor kebangkitan rakyat sehingga tercetusnya
peristiwa reformasi 1998 dan beliau antara punca Umno ditolak dan
dibenci oleh rakyat sehingga sekarang.
“Abaikan nasihat bekas PM dan sebaiknya PM tumpukan kepada usaha
membangunkan negara di samping mendengar pandangan dan keluhan rakyat di
bawah,” ujarnya.
v