PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Wednesday 12 March 2014

Suasana tegang di hotel, bapa penumpang MH370 ‘mengamuk’, ibu pasangan bulan madu menangis

Tidak seperti kebiasaannya, Selamat Omar, 60 melalui minggu yang amat sukar di lobi Hotel Everly, Sepang tempat keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 ditempatkan sementara misi mencari dan menyelamat masuk hari kelima.

Beliau kelihatan mundar mandir berjalan sesekali keluar untuk menghisap rokok dan adakalanya bertegur sapa dengan media yang membuat liputan.

Selamat antara ahli keluarga penumpang yang mesra media dan tidak pernah sesekali menolak apabila soalan ditanya wartawan.

Namun hari ini selepas lebih 100 jam misi pencarian pesawat penerbangan yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing yang hilang sejak Sabtu lalu, bapa kepada Mohd Khairul Azmi, 29, itu dilihat meninggikan suara kepada petugas MAS pagi tadi.

Suasana tegang apabila beliau menyuarakan perasaan tidak puas hati yang kemudiannya menarik perhatian wartawan dan jurufoto untuk merakamkan insiden tersebut.

Bagaimanapun suasana tegang reda selepas beliau berjaya ditenangkan oleh petugas MAS.

Selamat kemudiannya berjalan ke luar lobi di mana beliau dikerumuni media bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang insiden tersebut.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa Umno bahagian Bera, Pahang mengakui mengamuk kerana petugas MAS lambat memaklumkan berita perkembangan pesawat tersebut kepadanya.
 
"Selalunya jam 10 saya sudah mendapat maklumat tapi hari ini lewat lebih setengah jam macam itu, jadi saya marah."

"Tapi sekarang ini sudah tidak ada apa. Petugas MAS pun sudah menerangkan kepada saya dan saya memahami kesukaran mereka juga dan apa pun mereka perlu menunggu pengesahan daripada Jabatan Penerbangan Awam, (DCA)," katanya kepada media.

Antara lain beliau turut ditanya mengenai sumbangan yang bakal diberikan MAS kepada setiap ahli keluarga penumpang pesawat terbabit.

Bagaimanapun beliau berkata biarpun pihak MAS ada memaklumkan mengenai sumbangan itu namun Selamat tidak mengetahui jumlah yang akan diberikan.

"Pihak MAS tidak memberitahu beberapa jumlah yang bakal kami terima," katanya.

Bagaimanapun keadaan menjadi tegang semula apabila Selamat dilihat meninggi suara kepada kaunselor yang menghalang beliau untuk bercakap dengan media antarabangsa CNN.

Sejurus selepas Selamat ditemuramah oleh wartawan CNN, beliau ditarik oleh kaunselor yang kemudiannya berkata sesuatu kepadanya.

Ia menyebabkan Selamat meninggikan suara kepada kaunselor tersebut dengan berkata; " Awak tidak boleh buat saya macam ini," katanya.

Mengulas mengenai perkara itu Selamat memberitahu kepada The Malaysian Insider bahawa kounselar yang bukan daripada petugas MAS itu menghalangnya bercakap dengan media.

"Dia tidak boleh suruh saya macam itu. Saya marah kerana dia tidak membenarkan saya bercakap dengan media. Itu hak saya. Saya bebas cakap dengan siapa sahaja," katanya.

Bagaimanapun beliau menafikan bahawa adanya arahan yang dikeluarkan oleh MAS untuk petugasnya menghalang ahli keluarga mendekati media.

"Tidak ada arahan begitu. Saya kalau nak cakap dengan siapapun, saya akan cakap," katanya.

Biarpun tidak menyatakan kerisauan mengenai anaknya itu, riak muka jelas menceritakan segala-galanya.

"Saya tidak boleh tidur juga tidak boleh duduk satu tempat. Bila malam tidak boleh tidur, saya akan cakap dengan doktor," katanya.

Manakala kira-kira jam 2.15 petang, ibu kepada pasangan bulan madu Norli Akmar, 33, dan Mohd Razahan Zamani, 23, kelihatan menangis sewaktu melalui di kawasan lobi hotel.

Kamariah Shariff (gambar), 55, yang berbaju kurung merah dilihat menangis menuju ke ruang rehat ahli keluarga penumpang. Beliau bagaimanapun enggan ditemuramah.

Suaminya yang mengikut isterinya mengakui Kamariah menangis kerana terlalu sedih dan rindu serta mengenangkan nasib anak lelakinya itu.

"Dia tiba-tiba menangis, dia cakap terlalu rindu dekat anaknya," katanya.

Hamid Ramlan, 55, yang tinggal di Taman Meru, Perak itu berkata anak lelakinya itu sangat rapat dengan isterinya.

"Mereka selalu menghubungi dan bercakap. Anak saya akan bertanya khabar dan kerana itu isteri saya amat terjejas tidak mendengar suara anak saya setelah hampir lima hari," katannya.

Beliau juga turut berkata setakat ini perkembangan yang dimaklumkan mengenai operasi pencarian pesawat itu juga merupakan perkara sama. – 12 Mac, 2014.//(TMI)
 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers