Pembentangan
Bajet 2013 baru-baru ini bukan saja memperlihatkan Najib sudah
kepupusan idea untuk terus memaju pertumbuhan dinamik ekonomi negara ke
fasa seterusnya yang lebih mencabar tetapi juga menggambarkan beliau
hanya melhat kaedah pemberian tunai sebagai satu-satunya cara untuk
mengembalikan sokongan rakyat terhadap kerajaan yang dipimpinnya.
Dengan memberikan terlalu banyak pemberian tunai kepada rakyat, Najib
seperti mengandaikan rakyat adalah macam perwakilan UMNO yang hendak
memilih pemimpin di peringkat bahagian dan nasional. Sebab itu rakyat
dinilai dengan pemberian tunai RM500 hingga RM200, sama seperti jumlah
yang biasa diterima oleh perwakilan UMNO setiap kali pemilihan diadakan.
Sebagai PM dan Menteri Kewangan, pembentangan bajet seharusnya
dimanfaatkan untuk melonjakkan ekonomi, merangsang pertumbuhan dan
memberi keselesaan kepada rakyat dalam jangka masa panjang dan
sederhana. Ia juga sepatutnya meliputi penurunan beberapa cukai dan
pengenalan beberapa program dan insentif baru untuk rakyat sama ada dari
segi kesihatan, pendidikan, pelaburan dan sebagainya.
Tetapi Najib hanya memikirkan untuk memberi rakyat wang saku berjumlah
RM500 dan RM200 yang sebenarnya boleh habis dibelanjakan dalam tempoh
sehari dua sahaja.
Selepas habis pemberian tunai itu, rakyat akan kembali susah seperti
sediakala. Mereka akan terus dihimpit kenaikan harga barang, kekurangan
peluang pekerjaan dan perniagaan serta pelbagai bebanan lagi. Tetapi
jika pengurangan beberapa cukai diperkenalkan yang menyebabkan harga
barang turun atau pengenalan beberapa program yang bermanfaat untuk
rakyat, tentulah ia memberi kesan jangka panjang yang lebih dirasai.
Apa yang dilakukan Najib sebenarnya melalui BR1M 0.1 dan BR1M 0.2 adalah
seperti merasuah rakyat supaya mengundi BN dalam pilihanraya umum akan
datang. Tahun lepas BR1M ini diperkenalkan dengan tujuan pilihanraya
akan diadakan selepas itu tetapi oleh kerana pelbagai isu muncul dan
keadaan tidak cukup merangsang untuk mencetuskan kemenengan kepada BN,
pilihanraya terpaksa ditangguh sehingga Najib terpaksa melaksanakan BR1M
kali kedua.
Jika tidak ada pilihanraya, tiadalah BR1M. Lihat saja bajet 2010 dan
2011 yang dibentangkan Najib, bukan sahaja tiada BR1M, bonus untuk
kakitangan awam pun tiada. Najib cukup kedekut ketika itu.
Hanya apabila hampir pilihanraya, barulah kaedah pemberian tunai BR1M
ini diperkenalkan. Kepada kakitangan awam juga, Najib menjadi pemurah
secara tiba-tiba. Daripada tiada bonus, tahun ini diberinya sebulan
tengah bonus.
Bajet kali ini hanya memperlihatkan keghairahan Najib mempromosi
dirinya. Beliau mahu dilihat pemurah dan prihatin. Bukan saja kepada
rakyat tetapi kepada ahli UMNO juga. Dengan memberi pelbagai jenis
pemberian tunai, peruntukan Jabatan Perdana Menteri jadi melonjak
manakala beberapa kementerian sama ada mengalami kenaikan peruntukan
yang sedikit atau pun penurunan peruntukan tahunan.
Daripada semua kementerian itu, kementerian yang paling terjejas
mengalami penurunan ialah Kementerian Pelajaran. Dalam Bajet 2012,
peruntukan Kementerian Pelajaran ialah RM4,581,995,900 tetapi bajet kali
ini hanya diberikan sebanyak RM2,118,519,100 sahaja iaitu penuruan
lebih 50 peratus.
Penurunan peruntukan Kementerian Pelajaran ini mengejutkan banyak pihak
dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Selalunya kementerian itulah yang
sering diberi peruntukan besar kerana ia berkaitan dengan pendidikan
serta masa depan anak bangsa kita. Sudah tentu Kementerian Pelajaran
selalunya merangka pelbagai program, merancang pembinaan sekolah baru,
membaiki sekolah yang rosak dan usang, menambah jumlah dan kualiti
makmal pembelajaran dan sebegainya lagi.
Dan tidak syak lagi penurunan peruntukan kepada Kementerian Pelajaran
itu segera dikaitkan dengan Muhyiddin Yassin yang menerajui kementerian
itu. Hubungan Najib-Muhyiddin diketahui banyak pihak hanya menunggu masa
untuk meletus. Selain perbezaan stail, gaya dan pendekatan, Najib yang
ratingnya di mata umum merudum hari demi hari juga sentiasa dibayangi
oleh Muhyiddin yang dilihat tiada kontroversi serta isu-isu peribadi.
Najib terlihat amat lemah dan tidak sesuai menjadi PM ketika krisis.
Wataknya yang tidak tegas dan kurang bijaksana telah menyebabkan satu
demi satu isu yang muncul gagal ditangani dengan baik. Dalam masa yang
sama, palitan hitam yang mencemarkan dirinya sejak sekian lama
menambahburukkan lagi keadaan.
Ketika Pak Lah mahu disingkirkan dulu, Muhyiddinlah yang
bersungguh-sungguh melakukannya. Najib banyak teragak-agak dan cuba
bermain selamat sehingga ketika itu Mahathir yang memulakan langkah
untuk menyingkirkan Pak Lah turut tidak senang dengan Najib.
Najib hanya diselamatkan oleh kedudukannnya sebagai TPM dan Timbalan
Presiden UMNO ketika itu. Hanya itulah yang menjadikannya PM sekarang,
bukan kerana wibawa serta kebolehannya.
Selepas menjadi PM, lihatlah apa yang berlaku. Beliau bukan saja gagal
memulihkan keadaan, bahkan manambahburukkan lagi keadaan. Beliau juga
kelihatan jauh lebih lemah daripada Pak Lah. Dalam konteks demokrasi dan
hak asasi manusia pula, Marina Mahathir melabelkan Najib lebih teruk
daripada bapanya, Mahathir.
Dengan kelemahan yang begitu ketara sekarang dan kedudukan BN entahkan
menang entahkan tidak dalam pilihanraya akan datang, nama Muhyiddin mula
diperkatakan sebagai satu-satunya watak yang dilihat sesuai untuk
mengembalikan kekuatan UMNO. Pemimpin dan ahli UMNO pelbagai peringkat
mula merasakan jika Muhyiddin yang berada di tempat Najib sekarang,
atmosfera politik Malaysa mungkin berubah suasananya.
Najib mungkin berdegil untuk terus mengemudi PRU 13 ini. Meski dengan
pemberian tunai sekali pun, harapan menangnya tetap tipis. Untuk
mencapai lebih daripada 112 kerusi Parlimen pun masih tercungap-cungap,
inikan pula untuk melebihi 140 kerusi yang dimenangi pada 2008 yang
menjadi antara punca Pak Lah disingkirkan.
Logiknya, jika Pak Lah dengan 140 kerusi pun disingkirkan, Najib juga
akan menerima nasib yang sama jika gagal membawa kemenangan dua pertiga
kepada BN.
Mahathir sendiri sekarang begitu kerap bercakap soal majoriti dua
pertiga sebagai penanda aras sebuah kerajaan yang stabil. Ia sebenarnya
adalah petanda untuk menyingkirkan Najib.
Dengan bajet PR yang dilihat lebih mempunyai pelan jangka panjang dari
segi memberi kesejahteraan kepada hidup rakyat dengan hasrat menambah
nilai wang boleh belanja melalui penurunan harga minyak, penghapusan
hutang PTPTN, menurunkan harga kereta dan lain-lain lagi, realiti bagi
Najib ialah sama ada kalah pilihanraya atau pun menang sekadar cukup
makan saja.
Dalam bajetnya, selain berusaha mempromosi dirinya sebagai Santa Claus,
Najib juga mulai cuba mengekang gerak langkah Muhyiddin daripada terus
menggugat kedudukannya. Pengurangan peruntukan kepada Kementerian
Pelajaran adalah isyarat Najib bahawa Muhyiddin dan kementerian yang
diterajuinya akan diperkecil peranan serta kedudukannya.
Dengan peruntukan yang kecil itu, tidak banyak gula yang boleh
ditawarkan oleh Muhyiddin kepada pemimpin serta perwakilan UMNO. Projek
membina sekolah, membaiki sekolah, mengecat dan sebagainya akan
berkurangan. Dengan sendirinya pemimpin dan perwakilan UMNO bahagian
yang menjalankan perniagaan akan berkurangan menemui Muhyiddin dan
meneroka ke kementerian lain pula.
Jelas bahawa niat Najib mengurangkan peruntukan kepada kementerian
Muhyiddin itu ialah untuk mengecilkan peranan serta pengaruhnya di
kalangan ahli dan perwakilan UMNO meski masa depan pelajar dan negara
terpaksa dikorbankan melalui peruntukan yang makin dikurangkan itu.
Hanya masa yang menentukan bilakah krisis kedua-dua mereka ini akan
meletus tetapi berdasarkan pergolakan yang makin membahang di pelbagai
peringkat kepimpinan UMNO sekarang ini, ia tampaknya semakin sukar
untuk dielakkan meskipun kedua-duanya cuba menunjuk seperti selenggang
sehayun bersama.
Jika Najib berjaya menyekat kemaraan Anwar dan PR dalam pilihanraya
umum, cabaran beliau seterusnya ialah pemilihan UMNO selepas itu.
(01/10/2012)