PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Friday 18 January 2013

Dengan Tunku Yang Sudah Meninggal Pun, Mahathir Mahu Bermusuh

Oleh: Shahbudin Husin

Ramai yang geleng kepala dengan respon Tun Mahathir yang pentadbiran dan dua orang kanannya tiba-tiba dikaitkan dalam pemberian ratusan ribu kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah pada tahun 1993/1994 sebagaimana yang didedahkan dalam inkuari Siasatan Diraja atau RCI berkenaan pendatang asing yang sedang berlangsung sekarang ini.

Sambil mengakui beliau ada memberi kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah tetapi bekas Perdana Menteri itu mendakwa tindakan berkenaan dijalankan mengikut undang-undang.

Kita patut tengok balik dan ingat. Tunku Abdul Rahman lebih teruk daripada saya. Dia beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia buat tidak salah dan apa yang saya buat ini salah, demikian Mahathir dipetik sebagai berkata sebagaimana yang tersiar dalam Malaysiakini.

Orang geleng kepala kerana demi menyelamatkan dirinya, Mahathir sanggup menuding jari ke sesiapa saja, termasuk kepada Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang sudah meninggal dunia.

Jika beliau menyandarkan kesalahan itu kepada Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, ia memang boleh difahami dan ada logiknya tetapi turut menyalahkan Tunku yang disanjung tinggi dan sudah meninggal dunia pula, tidak lebih menunjukkan sikap enau yang ada dalam diri Mahathir itu.

Isu pendatang asing yang diberi kad pengenalan sudah lama menjadi isu di Sabah. Mereka bukan saja saja diberi kad pengenalan tetapi juga diberi hak mengundi dan menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan. Lebih menyakitkan hati penduduk tempatan, ramai juga pendatang asing ini memiliki keistimewaan seperti memiliki tanah, rumah, lesen perniagaan dan sebagainya.

Pendatang asing yang diberi kad pengenalan ini dijaga dan dipelihara sebaiknya kerana kuasa undi yang mereka miliki amat berguna setiap kali pilihanraya.

Akhirnya penduduk tempatan hanya dibiarkan miskin dan melarat. Hak mereka sebagai rakyat asal Sabah tidak lagi penting untuk diberi perhatian.

Tetapi oleh kerana tekanan yang berlarutan daripada pelbagai pihak untuk menyelesaikan itu itu, kerajaan akhirnya akur untuk menubuhkan RCI bagi mencari punca dan penyelesaian kepada masalah itu.

Beberapa saksi yang memberi keterangan kepada RCI itu telah mendedahkan pelbagai perkara, antaranya bekas Timbalan Pengarah JPN Sabah, Mohd Nasir Sugip yang mendakwa SPR telah mengarahkan JPN menukar nama 16,000 pendatang untuk diberikan kad pengenalan dan seorang bekas pegawai JPN, Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil pula mendedahkan kira-kira 100,000 kad pengenalan biru diberi kepada pendatang Sabah pada 1993.

Nama bekas orang kanan Mahathir iaitu arwah Megat Junid Megat Ayob dan Aziz Shamsuddin turut disebut dalam inkuiri itu di mana kedua mereka didakwa bukan saja memberi arahan langsung mengenainya tetapi terdapat juga operasinya dilakukan di rumah Aziz Shamsuddin di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Projek IC ini memang diketahui rancak dilaksanakan pada tahun 1993/1994 iaitu sebelum berlangsungnya pilihanraya negeri Sabah pada 1994. UMNO yang baru bertapak di Sabah ketika itu begitu berdendam dengan PBS dan cuba sedaya upaya mahu menumbangkan kerajaan Pairin Kitingan ketika itu.

Melalui pemberian ratusan ribu kad pengenalan biru dan hak pengundi kepada pendatang asing itu keputusan pilihanraya Sabah 1994 menjadi amat sengit di mana PBS akhirnya hanya mampu memenangi 25 daripada 48 kerusi saja. Berikutan beberapa ADUN PBS melompat menyertai UMNO tidak lama kemudiannya, kerajaan PBS akhirnya tumbang dan UMNO dapat menguasai negeri itu.

Dalam hal ini, walaupun Mahathir cuba mempertahankan pemberian kad pengenalan itu mengikut undang-undang sambil membandingkan dengan Tunku Abdul Rahman yang disifatkannya lebih teruk daripadanya, apa yang jelas nawaitu pemberian kad pengenalan oleh Mahathir dan Tunku adalah berbeza sama-sekali.

Mahathir meluluskan ratusan ribu kad pengenalan kepada pendatang asing Sabah adalah untuk kepentingan politik UMNO dan menghakis kuasa politik Kadazan. Kadazan adalah rakyat Sabah sah dan dominasi politik mereka cuba dinafikan dengan menggunakan pendatang asing Filipina sebagai alatnya. Mereka diberi kad pengenalan, tanah dan pelbagai lesen perniagaan sebagai balasan kepada budi yang telah ditetapkan iaitu mengundi BN.

Tunku pula memberikan kad pengenalan kepada rakyat daripada China dan India yang memang telah berada di Malaya sebelum kemerdekaan lagi dan ia seebahagian daripada persetujuan dengan British yang memberi kemerdekaan.

Dalam hal ini matlamat Tunku adalah murni iaitu untuk memberi keselesaan hidup kepada mereka yang telah memilih untuk menjadikan Malaya tempat kediaman mereka. Tunku tidak memaksa mereka mesti mengundi Perikatan sebagai syarat diberikan kad pengenalan itu sebagaimana UMNO memaksa pendatang Filipina mesti mengundi BN sebagai syarat untuk memperolehi kad pengenalan.

Tetapi Projek IC adakah jelas matlamatnya iaitu untuk menumbangkan kerajaan PBS dan menghakis kuasa Kadazan. Sudah tentu pendatang asing itu turut juga diberikan taklimat dan ditunjuk ajar parti mana yang perlu dipangkah sebagai syarat kelulusan kad pengenalan tersebut.

Respon Mahathir yang cuba mengait dan menyalahkan Tunku dalam hal ini memang sesuatu yang tidak wajar, jika pun beliau mahu membersih najis yang terpalit di badannya. Pertamanya, kerana matlamat dan tujuan Tunku dengan beliau jelas berbeza dan ia memang diketahui oleh Mahathir sendiri dan keduanya, oleh kerana Tunku sudah meninggal dunia, maka beliau tidak dapat membalas balik dakwaan Mahathir itu.

Tindakan Mahathir menyalahlah pihak lain dalam pelbagai isu memang biasa didengar sebelum ini. Beliau memang diketahui cekap memutar lidahnya. Beliau tidak akan menyalahkan dirinya. Biasanya ada saja yang menjadi mangsanya.

Tetapi tindakan terbaru Mahathir yang turut sanggup menyalahkan Tunku membuktikan bahawa bukan saja dengan orang yang masih hidup beliau bermusuh, bahkan dengan Tunku yang banyak berjasa dan sudah meninggal dunia pun beliau sanggup berbuat demikian.

Bagi Mahathir, jika beliau salah, ada orang lain lagi salah. Jika beliau teruk, ada orang lain lagi teruk. Semua kesalahan cuba dilemparkan kepada orang lain untuk menunjukkan diri dan legasinya kelihatan suci bersih.

Menjelang pilihanraya akan datang, Sabah nampak bergoyang dan isu pendatang asing bakal menjadi isu utama. Nama Mahathir mungkin paling banyak disebut dalam isu pemberian kad pengenalan ini kerana ketika itu beliau adalah Perdana Menteri dan mengaku pula meluluskannya.

Sementara Anwar dan Pakatan Rakyat sedang hebat menggempur Sabah dan yakin isu pendatang asing itu bakal memberi kelebihan kepada mereka, ada baiknya jika Najib awal-awal lagi melantik Mahathir sebagai pengurus kempen BN untuk menjawab mengenai isu itu di Sabah ketika pilihanraya nanti.

Dan kita boleh lihat sama ada Mahathir boleh menjamin kerusi Sabah masih selamat atau sebaliknya. (SH 18/01/2013)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers