Bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don, yang menghadapi
pertuduhan menerima rasuah, semalam memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa
dia tidak mengetahui satu bungkusan plastik yang ditemui di rumahnya
mengandungi wang tunai RM60,000.
Wahid, 60, berkata dia menerima
bungkusan itu tanpa memeriksa kandungannya memandangkan ia diserahkan
kepadanya oleh seorang rakan.
Bungkusan plastik itu ditemui di
atas sebuah meja di belakang pintu utama rumahnya, katanya semasa
menjawab soalan Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) Datuk Abdul Razak Musa dalam prosiding hari pertamanya membela
diri terhadap pertuduhan rasuah itu.
Menurut Wahid, dalam serbuan
yang dilakukan pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) (kini SPRM) pada 10
Julai 2008 di kediamannya di Jalan Duta di Kuala Lumpur, turut ditemui
wang tunai RM12,300 di ruang tamu dan RM90,500 lagi di bilik tidur.
Dia
turut menafikan wang RM102,800 itu antara yang dibayar oleh ahli
perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian kepadanya dalam urusan
mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh.
Wahid didakwa
menerima rasuah RM60,000 dari Low pada 10 Julai 2008 sebagai bayaran
upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh
di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta, di sini pada 10.15
malam, 10 Julai 2008.
Pada 15 Okt 2010, Mahkamah Sesyen
membebaskan Wahid daripada pertuduhan itu. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan
memerintahkan dia membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan
supaya dia dipanggil membela diri atas pertuduhan itu.
Dalam
keterangannya, Wahid berkata serbuan BPR itu dilakukan selepas rakannya
itu (Low) secara tiba-tiba datang ke rumahnya untuk menyerahkan
bungkusan plastik berkenaan.
"Dia (Low) datang dengan
tergesa-gesa sambil menyerahkan bungkusan itu dan menyuruh saya menyerah
(bungkusan) kepada kawannya bernama 'Sim'," kata Wahid.
Ditanya
sama ada dia mengetahui bungkusan itu mengandungi wang tunai, Wahid
menjawab: "Saya tidak tahu. Saya tidak membuka bungkusan tersebut."
Abdul Razak: "Kalau Low letak bom, Datuk terima begitu sahaja ke?"
Wahid: "Mungkin, sebab dia kawan saya."
Abdul Razak: "Bahaya ni, pukul 10 malam, Datuk terima apa sahaja. Kalau dadah?"
Wahid: "Mungkin (saya terima) sebab dia kawan saya."
Wahid menjelaskan disebabkan tidak mengetahui kandungan bungkusan itu, dia tidak menolak pemberian rakannya itu.
Selesai
Wahid memberi keterangan, Abdul Razak memberitahu mahkamah bahawa
pihaknya memohon untuk mencabar kesahihan keterangan Wahid berikutan
percanggahan fakta ketika siasatan kes itu dengan pembelaan Wahid hari
ini.
Hakim Rosbiahanin Ariffin menetapkan esok untuk mendengar permohonan itu dan menyambung perbicaraan.
- Bernama
Ieye ke tak tau dlm bungkusan ada 60 ribu henggit? Biar betul? Ke helah je? Dah ketarlah tu.
ReplyDelete