PERHATIAN!: KEPADA BLOGGER YG INGIN BERTUKAR LINK, SILA TINGGALKAN JEJAK DI RUANG KOMEN.. TQ

.

Friday 7 February 2014

Insiden 'panas' : 'Jumpa TMJ jika perlu'

HAMIDIN (kiri) memberi jaminan pihaknya akan memanggil TMJ jika perlu bagi membantu memberi keterangan berhubung insiden kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada Sabtu lalu.

MISTERI insiden 'panas' yang didakwa tercetus dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru ketika pertembungan Johor Darul Takzim (Johor DT) dan T-Team dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada Sabtu lalu masih belum terungkai.

Namun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin memberikan jaminan pihaknya tidak akan berkompromi dalam menyiasat insiden berkenaan dengan lebih terperinci selepas ini.

Menurut beliau, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan bersama pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) termasuk Presiden PBNJ itu yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung insiden berkenaan.

"FAM akan melihat segala bukti (berkaitan insiden itu) minggu depan.

"Ingin saya tegaskan di sini, pihak kami tidak akan sesekali berkompromi.

"Jadi, kami akan panggil dan jumpa TMJ jika perlu," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah (gambar) pula berkata, kes itu kini dikendalikan pihak Sekretariat FAM untuk siasatan lanjut.

Jika ada kes, katanya, ia akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Datuk Taufek Abdul Razak dalam masa terdekat.

"Sekretariat akan meneruskan siasatan lanjut terhadap apa yang didakwa berlaku dalam terowong berkenaan," jelas Afandi.

Dalam insiden di Larkin itu, pemain import The Titans, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo didakwa dikasari ketika menuju ke bilik persalinan stadium berkenaan.

Ketika itu, kedudukan semasa memihak kepada skuad Harimau Selatan yang sedang mendahului perlawanan 2-1.

Gara-gara bimbang dengan keselamatan, pasukan T-Team yang berstatus kelab itu telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua.

Malah, kedua-dua pasukan juga telah membuat laporan polis berhubung insiden yang berlaku dalam terowong stadium berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga mengesahkan siasatan berhubung insiden itu akan dibuat secara profesional tanpa mengira individu yang berada di belakang kedua-dua pasukan berkenaan.

Berhubung insiden itu yang kini berada di bawah siasatan polis, jelas Afandi, FAM tetap akan meneruskan siasatan mengikut bidang kuasa yang dimiliki badan induk berkenaan.

"Kami serahkan kepada polis untuk siasatan, tetapi pihak sekretariat tetap akan teruskan siasatan mengikut bidang kuasa yang kami ada.

"Jika ada kes, ia akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib.

"Jadi, sekretariat akan teruskan siasatan terlebih dahulu yang dijangka selesai dalam masa terdekat," katanya.//(kosmo)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers